RIYADH: Arab Saudi mengumumkan akan membina 3,000 bangunan sementara untuk membantu ratusan ribu penduduk yang terjejas akibat gempa bumi kuat melanda Turkiye dan Syria.
Penyelia Am Pusat Bantuan dan Bantuan Kemanusiaan Raja Salman (KSRelief), Dr Abdullah al-Rabeeah, sebelum ini telah menghantar beribu-ribu khemah, tetapi menekankan bahawa mangsa bencana itu perlu mempunyai tempat tinggal yang mencukupi dalam beberapa bulan akan datang ketika kerajaan kedua-dua negara berusaha memulihkan keadaan, lapor Alarabiya News.
“Berpuluh-puluh ribu mangsa memerlukan tempat perlindungan, dan keutamaan pasukan Arab Saudi adalah adalah untuk menjalankan operasi menyelamat mereka yang terperangkap di bawah runtuhan; dan untuk menyediakan sokongan yang diperlukan seperti ubat-ubatan, makanan, dan penjagaan kesihatan segera,” katanya dalam satu wawancara pada Rabu dengan TV al-Ekhbariyah.
“KSRelief mampu menyediakan khemah sementara untuk mereka yang terjejas akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria dan seterusnya akan membina 3,000 bangunan sementara untuk mereka ini,” tambahnya.
Di bawah arahan Raja Salman bin Abdulaziz dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, Arab Saudi telah menghantar pasukan dari KSRelief dan Bulan Sabit Merah Saudi untuk memberikan bantuan kepada mangsa di lokasi kejadian.

Hospital Saudi tawar bantuan kesihatan maya
Kerajaan Saudi juga telah menderma berjuta-juta ringgit kepada kedua-dua negara dan terus menerima sumbangan daripada rakyat dan penduduknya melalui program Sahem – yang semuanya berada di bawah arahan Raja Salman bin Abdulaziz dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman.
“Arab Saudi adalah antara negara pertama yang sampai ke kawasan yang dilanda gempa bumi sejurus selepas berlakunya bencana. Ia sedang berkomunikasi dengan Bulan Sabit Merah Syria untuk menetapkan keutamaan dan memberikan sokongan di Aleppo,” katanya.
Dalam pada itu, menurut laporan Saudi Gazette pada Khamis, Hospital Maya Seha, di bawah Kementerian Kesihatan Saudi, menawarkan sokongan jarak jauh kepada usaha perubatan Pihak Berkuasa Bulan Sabit Merah Saudi (SRCA) dalam mengurangkan penderitaan mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
“Ia adalah sebahagian daripada usaha kemanusiaan dan bantuan yang disediakan oleh Arab Saudi melalui pengangkutan udara bantuan yang dihantar oleh KSrelief untuk membantu mereka yang terjejas di Turkiye dan Syria akibat gempa bumi baru-baru ini,” ujar kenyataan hospital berkenaan.
Hospital Maya Seha menyediakan perkhidmatannya dari jauh kepada mereka yang menderita dengan kerjasama Saudi Telecom (STC) bagi membolehkan hospital itu menyediakan perkhidmatan berkualitinya dengan cekap. – HARAKAHDAILY 17/2/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!