Persadakan semula tulisan jawi

Sabri Azit
- Advertisement -

TERIMA kasih kepada semua pengundi di Parlimen saya, P.012 Jerai kerana memberi mandat sekali lagi untuk saya bawa suara rakyat di Parlimen yang mulia ini. Saya juga akan menjadi penghubung yang berkesan antara rakyat dengan kerajaan walaupun saya di pihak pembangkang. Rakyat amat maklum tentang peruntukan RM1.3 juta yang dikurangkan daripada RM3.8 juta yang diberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen kerajaan.

- Advertisement -

Peruntukan itu hanya diuar-uarkan untuk Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan campuran sahaja, manakala pembangkang sepertimana Ahli Parlimen, rakan-rakan saya yang lain juga menyeru agar peruntukan yang sama dapat diberikan agar Kerajaan Madani bermaksud kerajaan yang bertamadun pengisian dalamannya bukan sahaja memenuhi keperluan rakyat dengan nilai manusiawi tetapi mengandungi juga nilai ukhrawi.

Ini juga bermaksud sebarang peminggiran kelompok atau berlakunya diskriminasi dalam kalangan kami sebagai pembangkang, menambah parahkan konsep madani yang dibawa. Saya masih ingat Yang Amat Berhormat Tambun berkali-kali pernah membaca ayat 70 dalam Surah Al-Isra’, maksudnya, “Dan sesungguhnya kami telah muliakan anak-anak Adam a.s. dan kami angkut dan membawa mereka di darat dan di laut dan kami berikan rezeki kepada mereka dengan rezeki yang baik dan kami lebihkan mereka dalam kalangan makhluk yang lain dengan kelebihan yang sempurna.”

Sekiranya ayat ini dibaca berkali-kali dan ditambah pula dengan konsep madani, juga secara mudahnya mentakrimkan atau memuliakan manusia kerana manusia makhluk yang hebat akal kurniaan Allah Rabbul Jalil dan mampu mengurus dan mentadbir dengan baik agar menjadi negara yang bertamadun dan melahirkan pimpinan pelapis yang menguntungkan negara. Oleh yang demikian, pelanggaran konsep ini  akan  membawa kerosakan generasi akan datang. Sudah tentu seluruh barisan kepimpinan akan dipertanggungjawabkan atas janji dan penolakan secara pilih kasih.

Dalam akhbar Utusan Malaysia, saya menjadi kolumnis dalam “Klinik Jawi Utusan” yang disiarkan setiap hari Jumaat, esok pagi. Kini hampir lima tahun saya masih menulis artikel Jawi di akhbar tersebut walaupun terdapat kekangan masa. Saya gagahi juga setiap minggu untuk memeriahkan jawi melalui media cetak. Saya juga berterima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka yang menyediakan ruang kepada penggiat jawi dengan memberikan tauliah pelantikan Dewan Munsyi Jawi setaraf dengan Munsyi Bahasa dan Munsyi Sastera.

Saya amat berharap kerajaan membuka peluang seluas-luasnya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka bagi melahirkan lebih ramai Munsyi Jawi dan terbuka untuk semua masyarakat majmuk untuk sama-sama mengangkat dan menjulang tulisan jawi yang merupakan khazanah bernilai negara. Sebagai orang yang terlibat di lapangan pendidikan tulisan jawi arus perdana, di pendidikan menengah dan rendah suatu ketika dahulu, sudah tentu usaha memartabatkan tulisan jawi menjadi keutamaan saya.

Saya melihat Yang Berhormat Menteri Pendidikan yang baharu  – Ada tidak? Tidak ada? Dalam Kerajaan Madani, ejaan ‘madani’ pun aturan menulisnya tidak dieja secara kelaziman ejaan Melayu kerana ejaan ‘madani’ mengikut bahasa sumbernya adalah datang daripada bahasa Arab. ‘Mim, Dal, Nun dan Ya’ – Madani. Pengaruh bahasa Arab, inilah yang mendominasi tulisan jawi. Perlu membuat sesuatu yang besar dalam memperkasakan tulisan jawi. Sesuatu yang besar yang perlu dilakukan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan ialah dengan maksud mempersadakan semula tulisan jawi di peringkat menengah atas.

Saya sebutkan di sini disebabkan pelajar di Tingkatan 4 dan 5 di seluruh sekolah arus perdana sudah lama disediakan slot jawi bagi diuji kemampuan penguasaan tulisan jawi dalam subjek Pendidikan Islam di peringkat SPM. Namun, kini telah ditiadakan. Nampak mudah dengan tiadanya slot tersebut dalam peperiksaan SPM. Namun, di sebalik itu, sudah tiada lagi program atau aktiviti Semarak Jawi di peringkat menengah atas dan sudah hilang aktiviti untuk meneruskan kesinambungan jawi.

Saya berharap pihak kementerian dapat mengembalikan semua tulisan jawi, terutamanya dalam peperiksaan. Sebanyak 12 markah dalam mata pelajaran Pendidikan Islam SPM telah disediakan. Perkara ini harus datangnya daripada seorang yang diamanahkan sebagai Yang Berhormat Menteri Pendidikan. Sekiranya Yang Berhormat Menteri terlepas pandang dengan keputusan yang dibuat, maka, seluruh institusi pendidikan akan tersekat dan terhad pembelajaran jawi bagi disambung daripada generasi kepada generasi yang akan datang.

Sebenarnya pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah pun menyediakan buku Pedoman Ejaan Jawi yang autentik. Para guru terutamanya di bidang kemanusiaan yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam, perlu diberikan kefahaman mengenai pengkaedahan tulisan jawi. Saya sebutkan di sini, oleh kerana jawi tidak lagi dominan di sekolah arus perdana. Apatah lagi, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka sering menjadikan jawi sebagai tulisan yang dinamik dengan maksud kedinamikan ini bagi memperkukuhkan tulisan jawi agar dapat diterima dengan baik oleh khalayak. Sudah tentu para guru juga tidak dapat mengikuti perubahan semasa.

Justeru, saya mencadangkan agar peruntukan dan dana dapat disediakan oleh pihak kerajaan bagi memantapkan pedagogi jawi dalam kalangan guru di sekolah di semua peringkat. Ketamadunan ilmu perlu digilap agar manuskrip jawi yang masih banyak perlu digali untuk mengetahui sejarah peradaban ummah.

Mohd Misbahul Munir Masduki [Parit Buntar]: Terima kasih Yang Berhormat Jerai. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin mencadangkan kepada Yang Berhormat Jerai. Bersetuju ataupun tidak sekiranya tulisan jawi dimartabatkan semula dengan sering digunakan dalam urusan-urusan rasmi pihak kerajaan terutamanya JAKIM, JAWI ataupun apa sahaja yang berkaitan? [Disampuk] YADIM dan sebagainya, supaya tulisan jawi dimartabatkan semula kerana kita mahu rakyat Malaysia, tak kira bangsa apa, mengetahui asal usul di negara ini.

Rakyat Malaysia, orang Melayu terutamanya kenal tulisan melalui tulisan jawi, sedangkan bangsa-bangsa lain di negara ASEAN ada tulisannya sendiri. Thailand ada tulisan sendiri, Cambodia ada tulisan sendiri, China pun ada tulisan sendiri. Apa salahnya kita martabatkan semula tulisan jawi?

Sabri Azit [Jerai]: Terima kasih Yang Berhormat Parit Buntar dan masukkan dalam ucapan saya sebab saya setuju. Okey, terima kasih.

Seterusnya, saya juga berharap bagi Dewan Bahasa dan Pustaka mengorak langkah dengan lebih jauh lagi agar peranan Dewan Bahasa sebagai ejen pengembang tulisan ini dapat disemarakkan di persada negara mengikut kesesuaian khalayak. Hal demikian juga memerlukan peruntukan bagi menjayakan aktiviti tersebut.

Sehubungan untuk memperkasakan tulisan jawi, saya juga mengalu-alukan kesinambungan program melestarikan jawi seperti yang telah dilakukan oleh mantan Menteri Agama dengan Program Jawi Hari Jumaat. Sekurang-kurangnya, Menteri Hal Ehwal Agama yang baharu dapat meneruskan dan memberi nafas baharu dengan idea kreatif bagi membudaya, memperkasa dan memartabatkan tulisan jawi dalam kalangan anak-anak bangsa di seluruh negara.

Saya nampak melalui guru-guru KAFA di seluruh negara, aset penting bagi meneruskan agenda memperkukuhkan identiti tulisan jawi di negara ini. Saya sebutkan dalam Dewan yang mulia ini untuk memastikan tulisan jawi dapat diangkat lebih baik lagi dan diterima semula sebagai tulisan terpenting menjadi wahana perhubungan yang sangat diguna pakai tanpa prejudis perkauman yang suatu ketika dahulu cukup hebat.

Selain itu, saya juga dalam sidang penggal yang lalu pernah mengutarakan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya agar dapat memberi nilai tambah yang cukup berkesan ke arah memasarkan kecantikan seni khat di tempat tumpuan umum, khususnya di kawasan tumpuan pelancong di seluruh negara. Papan tanda program mesti dimasukkan tulisan khat kerana kita mempunyai ramai penulis khat yang berselerak di seluruh negara.

Begitu juga di stesen TV. Saya difahamkan Menteri yang memikul tugas di Kementerian Komunikasi dan Digital, Yang Berhormat Lembah Pantai berpengalaman menganjurkan aktiviti seni khat. Kini tibalah masa beliau mengorak langkah lebih jauh lagi memerpersadakan program jawi berasaskan keunikan seni khat atau memperkasakan program jawi di media elektronik di bawah kementerian beliau.

Semua ini memberi gambaran bahawa mempersadakan jawi di negara ini tidak mempunyai sentimen politik mana-mana pihak. Hanya sekadar mengoptimumkan penyelarasan semata-mata untuk memartabatkan kegemilangan tulisan ini di tengah masyarakat. Ruginya kita seandainya khazanah yang hebat yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu terus terpinggir atau dipinggirkan oleh generasi yang berkuasa hari ini. Semoga sinar tulisan jawi dapat dibugarkan kembali dalam semua institusi berkepentingan agar rakyat, terutamanya generasi hari ini mampu memahami budaya khazanah mereka yang dipelopori oleh orang terdahulu.

Rushdan Rusmi [Padang Besar]: Setujukah Yang Berhormat Jerai apabila bahasa Jawi adalah satu bahasa yang pernah jadi lingua franca untuk bahasa perantaraan perdagangan suatu masa dahulu? Dan juga saya dapat lihat pekedai-pekedai, terutamanya bangsa lain, di kampung-kampung dulu mengambil pesanan menggunakan tulisan jawi dan tulisan jawi ini sesuai dijadikan tulisan warisan kita. Itu sahaja.

Sabri Azit [Jerai]: Terima kasih Yang Berhormat Padang Besar. Saya setuju dan masukkan dalam ucapan saya.

Seterusnya saya tidak mempunyai banyak masa. Saya hendak menarik perhatian tentang isu pesawah padi dan saya ada satu masalah di Parlimen Jerai yang perlu saya sebutkan di sini iaitu bagaimana untuk mengalirkan air banjir ke laut. Mereka menggunakan Sungai Coras dan mereka telah mengadakan projek tebatan tetapi akhirnya mengakibatkan banjir berlaku dengan lebih teruk dan mengakibatkan ratusan relung di antara sempadan Jerai dengan Pendang mengakibatkan kerugian yang cukup besar.

Jadi, saya ingin kepada kementerian berkenaan supaya melihat semula projek ini kerana menyebabkan banjir termenung, menyebabkan pesawah-pesawah kerugian setiap kali musim mengerjakan sawah padi. – HARAKAHDAILY 17/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 16 Februari 2023.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!