Kesombongan Firaun terlerai di hadapan Nabi Musa A.S

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَجَاوَزْنَا بِبَنِيْٓ اِسْرَاۤءِيْلَ الْبَحْرَ فَاَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ وَجُنُوْدُهٗ بَغْيًا وَّعَدْوًا ۗحَتّٰىٓ اِذَآ اَدْرَكَهُ الْغَرَقُ قَالَ اٰمَنْتُ اَنَّهٗ لَآ اِلٰهَ اِلَّا الَّذِيْٓ اٰمَنَتْ بِهٖ بَنُوْٓا اِسْرَاۤءِيْلَ وَاَنَا۠ مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ.

“Dan Kami selamatkan Bani Israel melintasi laut, kemudian Firaun dan bala tenteranya mengikuti mereka untuk menzalimi dan menindas (mereka). Sehingga ketika Firaun hampir tenggelam dia berkata, “Aku percaya bahawa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israel (Allah), dan aku termasuk orang-orang Muslim (berserah diri kepada Allah).”

اٰۤلْـٰٔنَ وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ وَكُنْتَ مِنَ الْمُفْسِدِيْنَ.

“Mengapa baru sekarang (kamu beriman)? Padahal sesungguhnya engkau telah derhaka sejak dahulu dan engkau termasuk orang yang berbuat kerosakan.”

فَالْيَوْمَ نُنَجِّيْكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُوْنَ لِمَنْ خَلْفَكَ اٰيَةً ۗوَاِنَّ كَثِيْرًا مِّنَ النَّاسِ عَنْ اٰيٰتِنَا لَغٰفِلُوْنَ.

“Maka pada hari ini Kami selamatkan jasadmu agar ianya dapat menjadi pengajaran bagi orang-orang yang datang selepasmu, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengendahkan (lalai) mengambil iktibar daripada tanda-tanda (kekuasaan) Kami.”

(Yunus: 90-92)

Pertembungan di antara kebenaran dengan kebatilan berlaku sejak zaman berzaman. Ada kalanya kebenaran berada di atas (mencapai kemenangan) dan ada kalanya kebatilan mengalahkan kebenaran.

Puluhan tahun Nabi Allah Musa A.S mengajak umatnya dari kalangan Bani Israel dan mengajak Firaun serta kerajaannya menerima ajaran Tauhid. Namun Firaun yang mengakui dirinya sebagai tuhan dengan angkuh menolak dan mempermainkan Nabi Musa A.S dan pengikut Baginda yang beriman.

Keadaan ini berterusan walaupun peluang untuk beriman begitu lama diberikan oleh Allah S.W.T kepada Firaun dan kerajaannya. Setiap kali peluang diberikan, setiap kali itulah Firaun mempersiakannya. Sehingga Firaun pernah beberapa kali berjanji jika Tuhan Nabi Musa A.S dapat menghilangkan segala musibah yang menimpa Firaun dan pengikutnya, nescaya mereka akan beriman. 

Namun setiap kali musibah turun seperti musibah angin taufan, belalang, kutu, katak, air menjadi darah dan sebagainya, lalu dengan izin Allah ianya hilang berkat doa dan mukjizat Nabi Musa A.S, mereka tetap tidak menepati janji dan terus menentang Nabi Musa A.S dan pengikut Baginda.

Sehinggalah Firaun dan bala tenteranya dengan angkuh dan sombong mengejar Nabi Musa A.S dan pengikut Baginda yang melalui belahan air laut. Air laut terbelah membentuk benteng tinggi bagi memberikan laluan kepada Nabi Musa A.S dan pengikut Baginda. 

Akhirnya laluan tersebut dituruti oleh Firaun dan bala tenteranya yang mana akhirnya mereka ditenggelami air laut dan semuanya binasa. Lantas di kala itulah Firaun mengakui Allah S.W.T sebagai Tuhan sekalian alam. Namun ianya terlambat, keimanan Firaun ditolak oleh Allah S.W.T. Firaun tenggelam dan kematiannya sebagai seorang yang kafir kepada Allah. Dia akan mengetuai pengikutnya kekal di dalam neraka di akhirat nanti.

Peristiwa ini sayugia dijadikan sebagai iktibar bahawa sesebuah perjuangan itu bukanlah dikira ianya benar kerana ianya telah mencapai kemenangan. Ianya juga bukanlah dikira benar semata-mata kerana mendapat sokongan ramai. Namun kebenaran itu hanyalah yang menepati kehendak Syariat Allah S.W.T walaupun ianya kadang-kadang tidak dilihat berjaya atau tidak mendapat sokongan ramai pada kaca mata manusia. Ini kerana ada di kalangan Rasul utusan Allah S.W.T yang dibangkitkan di akhirat tanpa seorang pun yang menyokongnya, namun Allah S.W.T tetap mengisytiharkan bahawa Rasul itu tetap mencapai kemenangan di sisi Allah.

Kisah seumpama ini juga sebagai satu perkhabaran daripada Allah S.W.T bahawa perjuangan yang benar pasti akan diberikan kemenangan oleh Allah S.W.T di penghujungnya. Allah S.W.T membawa contoh Kerajaan Firaun yang lama dan hebat pun akhirnya tumbang dan berkubur, ini sekali gus mengingatkan bahawa kerajaan yang berkuasa di mana-mana zaman boleh tumbang dan berkubur dengan izin Allah. Justeru kuasa pemerintahan perlulah direalisasikan mengikut Syariat Allah S.W.T. Perkhabaran yang menggembirakan dan menguatkan istiqamah penerus perjuangan mencari keredhaan Allah S.W.T. Terus beristiqomah hingga kemenangan.

“Malaysia Sejahtera”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor
25 Rejab 1444
16 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 16/2/2023