Kembalikan kompas asal pendidikan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara perlu dikembalikan kepada kompas asal dengan memberi tumpuan utama kepada pelajar itu sendiri.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Saifuddin Abdullah berkata, sekolah perlu dijadikan tempat yang seronok untuk mereka belajar menerusi penghakupayaan pelajar (student empowerment) serta memperkasa gerakan mahasiswa di universiti.

“Kita asyik berdebat tentang pendidikan tetapi bukannya tentang tumpuan utama, iaitu pelajar. Justeru itu, kita mesti membetulkan kompas pendidikan yang paling diutamakan ialah pelajar.

“Jadikanlah sekolah tempat seronok untuk mereka belajar dengan mengamalkan pendekatan penghakupayaan pelajar dan memperkasakan gerakan mahasiswa di universiti serta melibatkan mereka dalam seluruh proses pendidikan termasuk dalam tadbir urus di universiti,’ katanya semasa perbahasan Titah Diraja, di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau lagi, tumpuan seterusnya tentulah guru, pensyarah dan pakar.

“Kita harus ingat bahawa yang dinamakan sekolah dan universiti itu bukan bangunan, tetapi adalah komuniti iaitu interaksi yang intensif antara guru, pensyarah dan pelajar.

“Kembalikan dan bantulah guru dan pensyarah menjalankan tugasnya yang hakiki iaitu mengajar, bukan menjadi kerani atau ‘pak pacak’ menjaga pelajar di pagi hari,” ujarnya lagi.

Beliau menggesa pihak kerajaan melihat dunia pendidikan sebagai sebuah sarwa pendidikan dan bukannya dari pandangan bidang lain.

“Pendidikan perlu dinilai bukannya diukur melalui neraca ilmu dan tamadun bukannya neraca pentadbiran dan birokrasi.

“Pastikan pendidikan tidak mengikuti pengaruh luar kerana dunia pendidikan yang seharusnya memimpin dunia luar,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/2/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!