Hukum pencemar bersihkan sumber bekalan air

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap tidak hanya mengenakan hukuman dan denda yang lebih berat kepada pencemar bekalan air, namun perlu mewujudkan usaha membendung insiden tersebut daripada berlaku.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, mencadangkan antara usaha itu termasuk menghukum pelaku membersihkan sumber air yang tercemar dan memberi pampasan kepada penduduk yang terjejas dengan bekalan air yang tercemar.

Beliau juga meminta kerajaan menjelaskan jika terdapat sebarang usaha proaktif yang akan diambil Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bagi membendung insiden itu yang menurutnya semakin kritikal kini.

“Apakah usaha-usaha proaktif yang sepatutnya dilakukan oleh pihak kementerian dalam membendung isu ini yang semakin kritikal, memandangkan mereka yang melakukan pencemaran ini perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keseluruhan kesan yang dilakukan mereka ini?” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengajukan soalan tambahan kepada Menteri NRECC pada sesi pertanyaan menteri, di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan ini, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang dijadualkan pada Jun ini akan membolehkan syarikat bekalan air dan pengguna menuntut daripada pihak yang menyebabkan pencemaran.

“Bagaimanapun, kita juga perlu maklum (selain) elemen gangguan bekalan air dan pencemaran yang memang merupakan elemen yang besar, terdapat juga elemen lain iaitu `reserve margin’ yang mencukupi,” katanya.

Untuk rekod, pindaan Akta 655 melibatkan peningkatan tempoh hukuman dan kadar denda kepada pencemar alur dan sistem bekalan air dengan peningkatan denda daripada RM100,000 kepada RM10 juta, manakala hukuman penjara dinaikkan daripada setahun epada 15 tahun atau kedua-duanya sekali. – HARAKAHDAILY 16/2/2023

- Advertisement -