Ahli Parlimen PN bakal bantu mangsa gempa Turkiye

Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) akan menyertai misi bantuan ke Turkiye yang diketuai Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, untuk membantu mangsa gempa bumi bermula 2 hingga 7 Mac ini.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, mengumumkan perkara ini selepas Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, melaporkan kepada Dewan Rakyat pada Sesi Penerangan Menteri-Menteri Di Bawah Peraturan 14 (1)(I) berhubung lawatannya ke Turkiye.

Ahmad Tarmizi bertanyakan sama ada Wisma Putra mempunyai unit penyelarasan berikutan terdapat ramai sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu bergerak ke Turkiye untuk memberi bantuan.

Katanya: “Jika ada unit koordinasi, ini akan memudahkan pelancaran dan jadual misi kemanusian ke ground zero.”

Berikutan makluman Ahmad Tarmizi, Anwar berkata beliau akan meminta Wisma Putra membantu penyelarasan misi bantuan kemanusiaan Ahli Parlimen PN ke Turkiye.

Menurutnya, Kementerian Luar akan membantu misi bantuan PN, terutama untuk memasuki kawasan bencana.

“Saya akan minta mereka (Kementerian Luar) menghubungi Yang Berhormat Kubang Kerian supaya dapat membantu menyelaras rakan-rakan Yang Berhormat sebelah sana untuk ke ground zero,” katanya.

Ketika sesi penerangan, Perdana Menteri memberitahu pertemuannya dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, bagi menzahirkan solidariti dan semangat persaudaraan rakyat Malaysia dan Turkiye berikutan bencana yang melanda negara itu.

Ketika pertemuan itu, Anwar berkata beliau menyampaikan rasa simpati, empati dan ihsan warga Dewan Rakyat mengenai bencana di Turkiye. – HARAKAHDAILY 16/2/23

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!