ANTAKYA, TURKIYE: Sembilan mangsa diselamatkan dari runtuhan di Turkiye semalam, lebih seminggu selepas gempa bumi melanda, ketika tumpuan usaha bantuan beralih kepada membantu penduduk yang kini bergelut tanpa tempat tinggal atau makanan mencukupi dalam cuaca sejuk.
Bencana itu dengan gabungan jumlah kematian di Turkiye dan negara jiran Syria melebihi 41,000, memusnahkan bandar di kedua-dua negara, menyebabkan ramai yang terselamat kehilangan tempat tinggal dalam suhu musim sejuk yang hampir membeku.
Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan, mengakui terdapat masalah pada peringkat awal menangani gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang melanda awal 6 Februari lalu, tetapi menyatakan bahawa keadaan kini terkawal.
“Kita sedang menghadapi antara bencana alam yang paling besar bukan sahaja di negara kita, tetapi dalam sejarah umat manusia,” kata Erdogan dalam ucapan yang disiarkan di Ankara.
Mereka yang diselamatkan semalam, termasuk dua beradik lelaki berusia 17 dan 21 yang ditarik dari blok apartmen di wilayah Kahramanmaras. Seorang lelaki dan wanita Syria di Antakya pula diselamatkan selepas lebih 200 jam dalam runtuhan. Penyelamat berkata, mungkin masih ada lagi orang yang masih hidup untuk ditemui.

Bagaimanapun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberitahu bahawa fasa menyelamat akan berakhir dengan tumpuan beralih kepada menyediakan tempat tinggal, makanan dan persekolahan.
“Orang ramai sangat menderita. Kami memohon khemah, bantuan atau sesuatu, tetapi sehingga kini kami tidak menerima apa-apa,” kata Hassan Saimoua, seorang pelarian yang tinggal bersama keluarganya di taman permainan di bandar Gaziantep, tenggara Turkiye.
Saimoua dan rakyat Syria lain yang mendapat perlindungan di Gaziantep melarikan diri dari peperangan dan kini hilang tempat tinggal akibat gempa itu, menggunakan kepingan plastik, selimut dan kadbod untuk mendirikan khemah sementara di taman permainan.
“Keperluan bantuan adalah besar, meningkat setiap jam,” kata Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah, Hans Henri P Kluge.
“Kira-kira 26 juta orang di kedua-dua negara memerlukan bantuan kemanusiaan. Terdapat juga kebimbangan yang semakin meningkat mengenai isu kesihatan yang muncul berkaitan cuaca sejuk, kebersihan dan sanitasi, serta penyebaran penyakit berjangkit – dengan orang yang terdedah terutamanya berisiko,” katanya. – REUTERS
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!