عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَكْثَرُ مَا يُدْخِلُ الْجَنَّةَ قَالَ التَّقْوَى وَحُسْنُ الْخُلُقِ وَسُئِلَ مَا أَكْثَرُ مَا يُدْخِلُ النَّارَ قَالَ الْأَجْوَفَانِ الْفَمُ وَالْفَرْجُ
“Daripada Abu Hurairah R.A dia berkata; Nabi S.A.W pernah ditanya; “Perkara apa yang banyak menyebabkan orang masuk syurga?” Baginda menjawab: “Taqwa kepada Allah dan akhlak yang mulia.” Baginda ditanya lagi; “Perkara apa yang banyak menyebabkan orang masuk neraka?” Baginda menjawab: “Dua rongga yang terbuka iaitu mulut dan kemaluan.””
(Hadis Riwayat Ibnu Majah No: 4236) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Bertaqwa kepada Allah dan memiliki akhlak yang mulia antara perkara yang banyak menyebabkan orang masuk syurga dengan rahmat Allah.
2. Dua perkara yang banyak menyebabkan orang masuk neraka ialah dua rongga yang terbuka iaitu mulut dan kemaluan.
3. Syeikh Abdullah al-Talidi dalam Jawahir al-Bihar menyatakan: Maksud mulut di dalam Hadis adalah orang yang tidak menjaga serta berusaha untuk menjaga daripada dosa-dosa mulut seperti mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengejek, menipu, mengumpat, mengadu domba, persaksian palsu dan sebagainya.
Selain itu, makna kemaluan pula adalah orang yang tidak menjaga kemaluannya daripada zina, liwat, tidak menjaga auratnya di hadapan selain daripada mahramnya seperti isterinya dan sebagainya.
4. Syeikh al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi menyatakan: Makna mulut di dalam Hadis ini ialah menjaga lidahnya kerana menjaga lidah boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketaqwaan.
Jadilah orang yang bertaqwa dan memiliki akhlak yang mulia. Peliharalah mulut dan kemaluan.
“Negara Rahmah Ummah Sejahtera”
YB USTAZ KAMAL ASHAARI
Ahli Parlimen Kuala Krau
15 Februari 2023
24 Rejab 1444H – HARAKAHDAILY 15/2/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!