Penoreh getah perlu terima bantuan bulanan

Che Mohamad Zulkifly Jusoh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Terma bayaran ‘ansuran bulanan’ kepada penoreh getah yang dimaksudkan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang, tidak jelas dan mengelirukan.

- Advertisement -

Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berkata, Timbalan Menteri berkenaan tidak memberi penyelesaian terbaik kepada penoreh getah yang terjejas teruk akibat musim tengkujuh sepertimana bantuan yang diperolehi golongan nelayan.

Katanya, kerajaan yang belum lagi membincangkan soal alternatif bagi membantu golongan tersebut disebabkan isu peruntukan yang amat terhad tidak realistik.

Oleh yang demikian, beliau mempersoalkan apakah insiatif kerajaan untuk menambah pendapatan penoreh getah sebagaimana golongan nelayan yang mendapat manfaat yang lebih banyak.

“Adakah kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan bantuan khas bulanan kepada para penoreh bagi menambah pendapatan mereka sebagaimana yang diberikan kepada nelayan-nelayan sebanyak RM300 sebulan, bukan RM800 setahun,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. Dalam soalan lisan asal, Besut meminta kerajaan menyatakan sebarang usaha untuk memberi wang tunai secara one-off kepada penoreh getah yang terjejas teruk akibat hujan turun hampir sepanjang tahun ditambah harga getah yang sangat rendah.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim turut meminta kerajaan memberikan penjelasan mengenai terma berkenaan.

Dalam masa yang sama, Che Mohamad Zulkifly turut meminta kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan harga syiling getah sekerap daripada RM2.50 kepada RM3.50. – HARAKAHDAILY 15/2/23

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!