Mampukah PH kekalkan pertumbuhan ekonomi pasca COVID-19?

- Advertisement -

MINGGU lepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun 2022 tumbuh pada kadar 8.7 peratus. Menurut Gabenor Bank Negara, Tan Sri Norshamsiah Mohd Yunus, kadar pertumbuhan tersebut adalah yang tertinggi sejak tahun 2000. Berdasarkan pertumbuhan positif tersebut, Malaysia diramal tidak akan menghadapi kemelesetan ekonomi pada tahun 2023 ini.

Seperti yang semua maklum, kerajaan yang memerintah Malaysia pada tahun 2022, adalah Kerajaan Campuran PN, BN, GPS dan GRS. Hanya berbaki sebulan sahaja bagi tahun 2022 itu, Persekutuan diperintah oleh Kerajaan Campuran yang diketuai oleh PH. Dengan pengertian lain, pertumbuhan ekonomi yang positif adalah kejayaan besar kerajaan yang diketuai oleh Dato’ Sri Ismail Sabri Yaacob dan Perdana Menteri sebelumnya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Cabaran ekonomi pasca Pandemik COVID-19 dianggap oleh para ahli ekonomi global sebagai sangat getir. Dasar dan amalan ekonomi yang dibuat oleh sesebuah negara ketika menghadapi Pandemik COVID-19 dan persediaan yang rapi untuk menghadapi cabaran pasca pandemik, menentukan ekonomi negara tersebut boleh tumbuh positif atau tidak. Pertumbuhan positif pada tahun lepas dan tahun 2021 sebelumnya, menjadi bukti kejayaan kedua-dua Perdana Menteri ke-8 dan Perdana Menteri ke-9.

Pertumbuhan positif ekonomi Malaysia banyak dibantu terutamanya oleh sektor perkhidmatan. Bila melibatkan sektor perkhidmatan yang secara langsung ia berkaitan dengan kuasa beli pengguna. Inisiatif kerajaan sebelum ini untuk memberi bantuan tunai secara langsung kepada golongan sasar di samping inisiatif secara tidak langsung seperti moratorium pembayaran balik pinjaman dan pengeluaran KWSP, diyakini melestarikan kuasa beli pengguna.

Selain daripada itu, tindakan kerajaan terdahulu melipatkan ganda inisiatif berkaitan ekonomi digital semasa musim PKP, telah mendorong sektor perkhidmatan berkaitan ekonomi digital ini berkembang pesat sehingga hari ini. Jelas sekali perkembangan ekonomi digital ini telah membantu melonjakkan perdagangan dalam sektor pemborongan dan peruncitan yang tumbuh pada kadar 15.2 peratus sehingga pada Oktober tahun 2022.

Pada akhir tahun lalu, ramai ahli-ahli ekonomi global meramalkan akan berlaku kemelesetan ekonomi pada tahun 2023. Antara faktor yang dikatakan akan mendorong kepada kemelesetan ialah apabila banyak negara menaikkan kadar OPR masing-masing bagi menstabilkan matawang berbanding Dollar Amerika. Selain daripada itu, diramalkan kos bahan api akan melonjak dengan pembukaan semula ekonomi China dan krisis Russia-Ukraine yang belum berpenghujung.

Dengan ekonomi terbuka yang diamalkan oleh Malaysia, negara juga pada awalnya diramalkan akan terkesan dengan kemelesetan ekonomi global pada tahun ini. Bagaimanapun Gabenor Bank Negara dengan nada optimis mempercayai Malaysia dijangka tidak melalui episod kemelesetan pada tahun ini. Nada optimis beliau adalah berdasarkan prestasi ekonomi negara yang begitu memberangsangkan pada tahun 2022.

Boleh disimpulkan, ketika kerajaan yang diketuai PH mengambil alih pemerintahan pada akhir tahun lepas, asas ekonomi Malaysia berada dalam keadaan yang kukuh. Situasi yang sama berlaku pada tahun 2018, ketika PH membentuk kerajaan selepas PRU14, asas ekonomi Malaysia juga berada dalam keadaan kukuh. Bagaimanapun, selepas PH memerintah prestasi ekonomi negara merudum sehingga mereka tumbang selepas 22 bulan. Bagaimana pula kali ini? Adakah Malaysia akan hadapi kemelesetan tahun ini?

DR MOHD ZUHDI MARSUKI – HARAKAHDAILY 15/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -