MICHIGAN: Lelaki bersenjata yang membunuh tiga pelajar Michigan State University (MSU) dan menyebabkan lima yang lain kini berada dalam keadaan kritikal, dikhuatiri mempunyai rancangan untuk menyerang dua buah sekolah di New Jersey.
Pihak polis MSU berkata, Anthony Dwayne McRae, 43, yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan universiti itu telah melepaskan tembakan rambang pada petang Isnin (13 Feb), waktu tempatan, di dua bahagian kampus berkenaan, sebelum dia kemudiannya ditemui mati akibat luka tembakan yang dilakukan oleh dirinya sendiri, lapor CNN.
Jabatan Polis New Jersey dalam kenyataannya pada Selasa (14 Feb) berkata, sekeping nota ditemui di dalam poket McRae yang menujukan ancaman terhadap dua buah sekolah awam di Ewing, New Jersey – disahkan polis MSU dan polis Ewing yang berkata bahawa kedua-dua sekolah berkenaan tidak menghadapi sebarang ancaman.
Terdahulu, menurut rekod polis, Anthony McRae ditahan pada 2019 selepas didakwa membawa senjata tersembunyi tanpa permit.
Tiga mangsa yang maut dikenalpasti
Sementara, pihak polis di Michigan State University (MSU) telah mengenal pasti tiga pelajar yang terbunuh itu sebagai Arielle Anderson, Brian Fraser dan Alexandria Verner.
“Arielle Anderson dan Brian Fraser masing-masing telah menamatkan pengajian pada 2021 di sekolah menengah di Grosse Pointe,” kata jurucakap Sekolah Grosse Pointe, Jon Dean pada Selasa.
Verner pula menghabiskan persekolahan di Sekolah Tinggi Clawson Awam Clawson, yang menurut Penguasa Sekolah Awam Clawson, Billy Shellenbarger, adalah merupakan gadis muda itu yang baik budi pekertinya.
“Ketika di alam persekolahan, Alexandria dalam bidang akademik, bola tampar, bola keranjang dan bola lisut.
“Mendiang juga juga berkembang maju dalam banyak kumpulan kepimpinan di sekolah. Alexandria akan kekal dalam ingatan kami buat selama-lamanya,” kongsinya.
Dalam pada itu, tiada seorang pun daripada lima mangsa yang dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal telah dikenal pasti secara umum.
Pelajar lompat keluar tingkap
Seperti banyak pembunuhan beramai-ramai di sekolah di AS, amukan maut di MSU ini memaksa pelajar melompat keluar tingkap dan lari menyelamatkan diri.
Pelajar tahun kedua jurusan sejarah MSU, Claire Papoulias berkata, dia tiba-tiba mendengar bunyi tembakan tepat di belakangnya.
“Penembak membuka pintu belakang kelas dan mula melepaskan tembakan ke arah rakan-rakan sekelas yang berada di belakang saya sehingga mencederakan mereka.
“Saya terhidu bau belerang senjata yang digunakan untuk menembak kami itu, dan saya fikir saya akan mati,” ujarnya kepada CNN pada Selasa.
Tambahnya, apabila lelaki bersenjata itu melangkah keluar dari kelas itu – membiarkan pintu terbuka luas – beberapa pelajar dengan berani memecahkan tingkap dan membantu yang lain melompat keluar dari bilik pembelajaran di tingkat satu itu.
“Ada seorang pelajar lelaki di seberang tingkap menyambut pelajar-pelajar yang melompat keluar tingkap. Dia berdiri di sana dan mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan nyawa kami.
“Apabila kaki saya mencecah tanah, saya terus berlari menyelamatkan diri. Saya lupa semua yang saya miliki kerana itu tidak penting.
“Saya fokus untuk keluar hidup-hidup dari kelas itu. Saya melompat keluar tingkap dan saya berlari sepantas yang saya boleh,” kongsi Papoulias.
Serangan tembakan di tempat awam ke-67
Sementara kampus yang mempunyai 50,000 bilangan pelajar itu sedang berkabung, penyiasat cuba mencari apakah punca ang mendorong McRae menyerang pelajar-pelajar di universiti malang itu.
“Kami tidak tahu kenapa dia datang ke kampus MSU untuk melakukan serangan berdarah ini,” kata Timbalan Ketua Polis Sementara MSU, Chris Rozman beberapa jam selepas kejadian tembakan itu.
Laporan pertama tembakan yang dilepaskan berlaku pada jam 8.18 malam di Berkey Hall, sebuah bangunan akademik di hujung utara kampus berkenaan.
“Pegawai bertindak balas menuju bangunan itu dalam beberapa minit dan menemui beberapa mangsa tembakan, termasuk dua yang maut,” kata Rozman.
“Sejurus itu, satu lagi tembakan dilaporkan berlaku di bangunan kesatuan pelajar berhampiran, Di situlah mangsa ketiga yang terbunuh ditemui,” tambahnya.
“Apabila berita tentang tembakan besar-besaran tersebar, kebimbangan meresap ke dalam kampus kerana lelaki bersenjata itu masih bebas, menyebabkan perintah perlindungan di tempat itu berkuat kuasa,” ulas kata Presiden sementara MSU, Teresa Woodruff.
Serangan itu berlaku beberapa jam sebelum ulang tahun kelima pembunuhan beramai-ramai di Marjory Stoneman Douglas High School di Parkland, Florida.
Merujuk kepada data Arkib Keganasan Senjata AS, serangan terbaharu itu merupakan tragedi serangan tembakan besar-besaran ke-67 pada 2023 – yang termasuklah 12 kejadian tembakan di sekolah; sementara tragedi di MSU itu adalah yang pertama berlaku di kolej atau universiti AS pada tahun ini.
Terdahulu, pada Nov 2021, empat pelajar maut manakala enam yang lain cedera dalam serangan di Oxford High School di Michigan.
“Sebagai wakil Oxford, Michigan, saya tidak percaya bahawa saya berada di sini sekali lagi selepas 15 bulan tragedi di Oxford High School,” kata Elissa Slotkin pada sidang akhbar pada Selasa mengenai penembakan besar-besaran di MSU itu.
“Kita perlu mengadakan satu lagi sidang akhbar untuk membincangkan tentang keselamatan anak-anak kita daripada mati dibunuh di sekolah atau kampus tempat mereka belajar,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/2/2023