KUALA LUMPUR: Sehingga sekarang hanya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang datang secara beradab ke Kedah.
Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, menteri-menteri lain yang datang ke Kedah dianggap tidak secara beradab tanpa memaklumkan kepada tuan rumah.
“Datang ke rumah sehingga masuk ke dapur dan bilik tanpa memberitahu kepada tuan rumah. Ini tidak beradab namanya,” katanya ketika membahas Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, menteri lain sepatutnya mencontohi Menteri MITI datang ke Kedah dengan beradab dengan memaklumkan kepada tuan rumah.
Katanya, pemimpin seperti Menteri MITI pada masa akan datang sesuai bertanding atas tiket PERIKATAN NASIONAL (PN) untuk memastikan kemenangan berpihak kepadanya.
Beliau juga mendakwa terdapat arahan menteri tidak boleh menyertai mesyuarat bersama pemimpin kerajaan Kedah.
Semalam, Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman ketika mencelah ucapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberitahu Ahli Parlimen PN tidak lagi dibenarkan masuk ke sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.
Katanya, hendak datang solat hajat yang dijemput guru pun tidak boleh lagi sekarang.
Afnan Hamimi turut membangkitkan pajakan tahunan Pulau Pinang yang dibayar Kerajaan Pusat hendaklah dinaik kepada RM200 juta setahun sesuai dengan sumbangan Kedah kepada negara.
Katanya, Kedah menyumbang 41 peratus pengeluaran beras bagi keperluan negara yang melibatkan kawasan sawah seluas 200,000 hektar.
Pada Oktober 2021, Kerajaan Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan selepas ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sekarang kerajaan negeri hanya menerima bayaran khas sebanyak RM10 juta setahun sejak 2018 dan royalti sebanyak RM10,000 setahun. – HARAKAHDAILY 15/2/23
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!