Jaguh Jerman, Bayern Munich menewaskan Paris St Germain (PSG), manakala AC Milan mengalahkan Tottenham Hostpur, masing-masing dengan jaringan 1-0 dalam perlawanan pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara.
Kemenangan itu meletakkan kedua-dua pasukan sebelah kaki untuk melangkah ke suku akhir, namun masih ada satu lagi perlawanan untuk menentukan pemenang sebenar.
Di Paris, Kingsley Coman kembali menghantui PSG apabila memastikan Bayern Munich menang 1-0 di Parc des Princes.
Dilahirkan di Paris, Coman menjaringkan gol tunggal apabila Bayern menewaskan pasukan Perancis itu pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2020. Semalam, dia sekali lagi menjadi penjaring tunggal ketika juara Jerman itu menewaskan lawan yang sama.
PSG yang tewas lima perlawanan dalam semua kejohanan pada 2023, bertahan pada babak pertama tetapi akhirnya tunduk dan gagal melawan walaupun menamatkan perlawanan dengan tiga tonggak serangan Kylian Mbappe, Neymar dan Lionel Messi.
Skuad kendalian Christophe Galtier berdepan kemungkinan penyingkiran kedua berturut-turut dalam pusingan 16 terakhir pada 8 Mac di Munich, walaupun persembahan bertenaga Mbappe sebagai pemain gantian pada babak kedua akan memberi mereka harapan.
“Kami bermain sangat baik dalam 25 minit pertama dan pasukan terbaik pada malam ini menang. Namun masih ada perlawanan kedua,” kata jurulatih Bayern, Julian Nagelsmann.
“Kami dominan dan agresif pada awal permainan. Kemudian mereka (PSG) mula mengasak apabila Mbappe masuk,” katanya.
Galtier pula berkata: “Kami menghadapi masa yang sukar menentang pasukan yang menikmati penguasaan bola dan mengasak yang tinggi.”

Sementara itu di San Siro, AC Milan juga mengorak langkah ke suku akhir Liga Juara-Juara apabila jaringan Brahim Diaz pada minit ke-7 memberikan pasukan Itali itu kemenangan 1-0 ke atas Tottenham Hotspur.
Pemain Sepanyol itu menanduk masuk bola lantun pada minit ketujuh selepas aksi menyelamat hebat penjaga gol pilihan kedua Tottenham, Fraser Forster.
Spurs yang dibelenggu masalah kecederaan dan penggantungan, bertindak balas positif terhadap jaringan awal Diaz untuk menguasai babak pertama, tetapi tidak mampu mengancam tuan rumah secara serius.
Milan sepatutnya meningkatkan kelebihan jaringan selepas rehat, namun pemain gantian, Charles De Ketelaere dan pemain pertahanan, Malick Thiaw mensia-siakan peluang.
Tottenham memasukkan penyerang Brazil, Richarlison untuk baki 20 minit terakhir. Walaupun tidak dapat mengelak kekalahan pertama kepada Milan, mereka akan pulang dengan harapan untuk mengubah kedudukan dan mara ke peringkat lapan terakhir. – REUTERS
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!