Apakah idea komunis masih wujud di kampung baru?

Dewan Rakyat.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Maran, Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib meminta kerajaan menjelaskan sama ada idea-idea komunis masih wujud di kampung-kampung baru.

- Advertisement -

Menurutnya, ini kerana kebanyakan kampung-kampung baru asalnya dibentuk bagi penempatan semula golongan-golongan yang terlibat dengan komunis.

Beliau mengemukakan soalan itu kepada Menteri Dalam Negeri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Berikut ialah pertanyaan bagi jawab lisan daripada Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL dan PAS, hari ini.

Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary [Pengkalan Chepa] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan usaha Kerajaan mengatasi pencerobohan nelayan asing seperti nelayan Vietnam di kawasan Laut China Selatan yang boleh menjejaskan pendapatan nelayan tempatan dan menceroboh kedaulatan negara.

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh [Pasir Puteh] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan apakah langkah-langkah jangka masa pendek pemugaran (rejuvenation) dan rekayasa sosial (social engineering) desa bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup dan kesan-kesan pasca Covid-19.

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Besut] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan sama ada Kerajaan berhasrat memberi wang tunai secara one-off kepada penoreh getah yang terjejas teruk akibat hujan turun hampir sepanjang tahun ditambah harga getah yang sangat rendah.

Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [Pokok Sena] minta  Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan pendirian Kementerian untuk memasukkan pemeliharaan terhadap tanah sawah padi sebagai elemen tambahan dalam Pemindahan Ekologi Fiskal (EFT) selain pemeliharaan terhadap hutan di setiap negeri.

Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh] minta  Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan apakah status peruntukan RM100 juta yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan loji bekalan air baharu di Mempateh, Lanchang.

Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [Jerantut] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan adakah Kerajaan bercadang menyeragamkan penggunaan aplikasi dalam talian untuk pembayaran tiket parkir kereta secara dalam talian di setiap PBT seluruh negara.

Datuk Haji Awang bin Hashim [Pendang] minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan tindakan dalam menangani kegusaran rakyat di kawasan luar bandar mengenai isu kesempitan hidup lebih-lebih lagi dengan peningkatan harga barangan keperluan harian di samping ketidaktentuan harga getah.

Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [Pasir Mas] minta Menteri Kesihatan menyatakan keberkesanan inisiatif hospital kluster yang telah direncanakan oleh Kementerian bagi mengatasi masalah kepadatan pesakit yang terlalu tinggi di hospital-hospital seluruh negara sehingga kini.

Tuan Che Alias bin Hamid [Kemaman] minta  Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan status terkini pelaksanaan projek tebatan banjir di negeri-negeri Pantai Timur.

Puan Siti Mastura binti Muhammad [Kepala Batas] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan:-

                (a)          senarai jumlah projek rancangan perumahan sewa beli yang telah dilaksanakan di seluruh negara; dan

                (b)          jumlah projek rancangan perumahan sewa beli yang telah dilaksanakan di negeri Pulau Pinang.

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [Beluran] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan langkah diplomasi yang diambil oleh Malaysia dalam isu konflik antara negara China dan Amerika Syarikat di perairan Laut China Selatan.

Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Menteri Kesihatan menyatakan apakah tindakan Kementerian untuk memupuk budaya makanan sihat termasuk di kalangan peniaga dan pembeli makanan agar jumlah pesakit diabetes dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dikurangkan.

Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [Kuala Terengganu] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan senarai projek-projek perumahan di bawah tanggungjawab Kementerian yang sedang dan akan dilaksanakan di Kuala Terengganu.

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan kebanyakan kampung-kampung baru, asalnya dibentuk bagi penempatan semula golongan-golongan yang terlibat dengan komunis, kenapa ianya perlu dikekalkan. Apakah idea-idea komunis masih wujud di kampung-kampung baru dan apakah Kerajaan bercadang untuk menyatukan semua kampung baru di bawah Kementerian yang sama.               

Datuk Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid [Kuala Kangsar] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan sama ada Kerajaan bercadang mengenakan gaji minimum untuk melindungi hak golongan pekerja gig di Malaysia.

Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Menteri Kesihatan menyatakan komitmen Kementerian untuk menambah baik infrastruktur hospital, kesemua klinik kesihatan dan klinik desa dalam Parlimen Merbok yang semakin hari menerima jumlah pesakit yang tinggi.

Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki [Parit Buntar] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah pelancong dari negara Cina yang tidak pulang ke negara asal walaupun tempoh visa sudah tamat dan apakah tindakan Kerajaan bagi mengesan pelancong ini.

Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [Alor Setar] minta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah status terkini berkaitan kelulusan projek pembinaan Lapangan Terbang Kulim dan Kedah Aerotropolis di Sidam, Kedah.

Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi [Kuala Langat] minta Menteri Kesihatan menyatakan :-

                (a)          berapa jumlah fasiliti kesihatan swasta yang dimiliki secara 51% hingga 100% oleh ekuiti asing berdasarkan dasar penyertaan ekuiti asing dalam penjagaan kemudahan kesihatan swasta; dan

                (b)          apakah penambahbaikan dasar ini selepas libat urus dengan persatuan-persatuan serta apakah jaminan keselamatan data pesakit kepada fasiliti yang dimiliki 100% ekuiti asing.

Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [Bagan Serai] minta  Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan status projek tebatan banjir di bawah JPS yang telah mengemukakan permohonan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) terutama di kawasan Bagan Serai yang melibatkan kos RM23 juta.

Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin [Larut] minta Menteri Luar Negeri menyatakan:-

                (a)          apakah pendirian terkini Malaysia berhubung konflik antara Rusia dan Ukraine di mana dunia menjangkakan serangan besar-besaran akan berlaku, dengan mengheret sama Belarus dan Poland sehingga memungkinkan perang berskala penuh terjadi di antara Rusia dan NATO; dan

                (b)          apakah pelan strategik Kerajaan PH-BN untuk berdepan kesan sosioekonomi dan politik akibat konflik tersebut, ketika mana Malaysia sedang bergelut dengan isu kos sara hidup serta inflasi.

Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan status bantuan peruntukan yang telah diumumkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri sebanyak RM12 juta pada 15 Disember 2022 untuk menyediakan enam unit pam bergerak berkuasa tinggi bagi mengatasi banjir termenung di jajahan Pasir Mas bagi menangani banjir termenung yang sering berlaku di jajahan tersebut khususnya di Rantau Panjang.

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi [Tumpat] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah perancangan Kerajaan untuk membina fasiliti dan prasarana yang lebih komprehensif di Pengkalan Kubur sebagai Pintu Masuk Antarabangsa.

Dato’ Dr. Alias bin Razak [ Kuala Nerus ] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menyatakan status terkini permohonan projek tebatan banjir di Sungai Tepoh, dan Saliran Banggol Air Lilih. – HARAKAHDAILY 15/2/2023

- Advertisement -