KUALA LUMPUR: Pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar wajar dipertimbangkan kerajaan bagi meringankan beban rakyat akibat kos sara hidup yang tinggi dan kenaikan harga barang.
Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia antara antara insentif yang boleh dilakukan kerajaan untuk memelihara kebajikan rakyat, khususnya golongan B40 yang didominasi kaum Bumiputera.
“Dengarlah suara rakyat yang mahukan pembelaan, misalnya apalah salahnya kerajaan mempertimbangkan sekali lagi pengeluaran KWSP secara bersasar sekiranya ini adalah kehendak rakyat utnuk membantu meringankan beban mereka di kala susah, ini bukan duit kerajaan tetapi duit rakyat.
“Begitu juga dengan moratorium daripada pinjaman bank, bank-bank terus membuat untung walaupun ketika negara berhadapan krisis Covid-19 yang lalu.
“Apalah salahnya jika bank sekali lagi membantu rakyat untuk melaksanakan semula moratorium bayaram balik pinjaman bersasar bagi tempoh tertentu untuk meringankan beban rakyat akibat kesan inflasi dan kenaikan OPR. Kerajaan tak payah keluar duit satu sen pun,” katanya dalam perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut menyentuh soal amalan nepotisme dan kronisme yang dahulunya ditentang Perdana Menteri, tetapi kini menjadi dasar dalam kerajaan.
“Berhentilah bermain politik dan membuat keputusan-keputusan cakap tak serupa bikin, misalnya tiba-tiba ada dasar menteri-menteri boleh lantik anak beranak sebagai pegawai, walaupun tidak mengambil gaji.
“Pelantikan ini menimbulkan percanggahan kepentingan yang berbaur nepotisme, yang itu dikatakan oleh Pakatan Harapan (PH) dulu ditentang tetapi hari ni sudah menjadi dasar, wajar ke begitu.
“Untuk apa dasar ini diperkenalkan, tak ada kaitan dengan keperluan rakyat yang mendesak pada ketika ini, rakyat bukan nak lihat anak Perdana Menteri memegang jawatan dalam kerajaan, mereka nak lihat Menteri dan Perdana Menteri buat kerja untuk rakyat,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 15/2/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!