50,000 bangunan bakal dirobohkan di Türkiye

Sebuah bangunan separuh runtuh akibat gempa bumi di Adana, Türkiye dirakam pada Selasa, 7 Feb 2023. (FOTO: The Edge Market).
- Advertisement -

KAHRAMANMARAS, Turkiye: Kerajaan Turkiye sedang menimbangkan akan merobohkan lebih 50,000 bangunan yang mengalami kerosakan di wilayah yang dilanda dua gempa bumi kuat pada 6 Feb lalu.

- Advertisement -

Menteri Alam Sekitar, Perancangan Bandar dan Perubahan Iklim Türkiye, Murat Kurum telah mengumumkan bahawa 50,576 bangunan yang rosak di kawasan yang dilanda gempa bumi di negara itu, perlu segera dirobohkan, lapor TRT World.

Dua gempa bumi masing-masing berukuran 7.7 dan 7.6 magnitud pada skala Ritcher itu telah menjejaskan 10 wilayah selatan dan tenggara Turkiye – Kahramanmaras, Hatay, Osmaniye, Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Malatya, Killis, Adana, dan Adıyaman.

Kurum mengeluarkan kenyataan itu pada Rabu ketika negara itu terus bergelut dengan bencana paling dahsyat dalam tempoh 100 tahun.

Sementara menurut Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, lebih 35,000 orang telah terkorban akibat gempa bumi pada minggu lalu, menjadikannya bencana paling maut seumpama itu di Türkiye sejak penubuhan republik itu 100 tahun lalu.

Jumlah 35,418 kematian yang dilaporkan kali ini melebihi jumlah penduduk negara itu yang terkorban dalam gempa bumi paling maut pada1939 yang melanda Erzincan dan meragut 33,000 nyawa.

Di tengah-tengah angka kematian yang semakin meningkat, pasukan mencari dan menyelamat  di Turkiye pada Rabu berjaya menyelamatkan seorang wanita warga emas, Cemile Kekec, 77, yang terperangkap selama 226 jam  dalam runtuhan konkrit bangunan di Kahramanmaras.

Di negara jiran Syria pula, jumlah kematian mencecah 5,814, menjadikan jumlah kematian kedua-dua negara meningkat kepada lebih 41,232. – HARAKAHDAILY 15/2/2023

- Advertisement -