Kerusi menteri lengang ketika Ketua Pembangkang berbahas

KUALA LUMPUR: Malaysia Madani sepatutnya mengetengahkan politik segar dan matang, namun petang tadi lain pula apabila kerusi saf menteri kosong ketika Ketua Pembangkang membahas Titah Diraja.

Advertisement

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pada jam 4.16 petang tadi ketika Ketua Pembangkang Dato’ Seri Hamzah Zainuddin berbahas kerusi blok menteri dan timbalan menteri lengang.

“Hari ini saya berkongsi gambar dalam Dewan Rakyat,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Suasana itu dapat dilihat mereka yang menyaksikan siaran langsung melalui RTM dan live media sosial milik ahli parlimen.

Dr Mohd Radzi juga berkata, pemimpin utama PERIKATAN NASIONAL (PN) termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut hadir sesi parlimen sejak pagi tadi.

“Saya berada sebaris dengan mereka dalam Dewan Rakyat dan melihat sendiri mereka hadir pagi tadi. Mudah sebenarnya nak buat cerita daripada sekeping gambar dalam Dewan Rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/2/2023