Kerajaan tiada perancangan mansuh PTPTN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum mempunyai perancangan untuk memansuhkan pinjaman hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40.

- Advertisement -

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Khaled Nordin berkata demikian ketika menjawab soalan dari Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Bersatu-Macang) yang mempersoal kesediaan kerajaan untuk menjalankan program pemansuhan hutang tersebut.

“Cadangan pemansuhan hutang PTPTN kepada golongan miskin dan isi rumah B40 akan melibatkan seramai 1.84 juta peminjam dengan jumlah pemansuhan pelupusan sebanyak RM 42.34 bilion.

“Walau bagaimanapun kerajaan sentiasa prihatin dan memberi perhatian kepada kebajikan peminjam dan kemudahan bayaran balik pinjaman,” katanya.

Menurut beliau, peminjam diberi beberapa kelonggaran antaranya penangguhan bayaran balik sekiranya menyambung pengajian atau belum mendapat pekerjaan.

Dalam pada itu, Wan Fayhsal dalam soalan tambahannya berkata, semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lepas, Pakatan Harapan (PH) telah menawarkan perkara tersebut dalam manifesto mereka.

“Apakah kerajaan tidak mempunyai iltizam politik untuk memansuhkan hutang ini seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini?.

“Ahli Parlimen Pandan dan Hang Tuah Jaya antara aktivis yang memperjuangkan isu ini buat anak muda,” katanya.

Khaled dalam jawapannya kepada soalan Wan Fayhsal sekadar berkata,“Sungguhpun begitu, kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan campuran serta perkara utama ketika ini mempertahankan institusi tersebut.” –HARAKAHDAILY 14/2/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!