Anwar jawab isu skandal kewangan negara di Parlimen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengakui semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Keenam yang dalam masa sama adalah Menteri Kewangan ketika itu menjadi salah satu faktor yang mengundang kepada skandal kewangan.

- Advertisement -

Beliau berkata, terdapat kebenaran ketika dalam pemerintahan BN dahulu, berlaku  ketirisan dan kes seperti skandal 1MDB semasa Dato’ Seri Najib Razak menjawat jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam satu masa.

Bagaimanapun, beliau percaya skandal kewangan tidak hanya berlaku semasa kerajaan BN sahaja.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam sesi pertanyaan menteri di Parlimen, hari ini.

“Ada analisis menyatakan antara perkara utama yang menyumbang kenaikan hutang negara adalah hutang berkait dengan pelbagai skandal kewangan yang berlaku pada kerajaan BN, khususnya di bawah pimpinan Perdana Menteri Keenam yang turut memegang jawatan Menteri Kewangan ketika itu seperti mana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri hari ini.

“Hutang ini bukan sahaja perlu dibayar, tetapi ada keadaan di mana kerajaan terpaksa berhutang untuk menyelamatkan institusi yang terkesan akibat skandal kewangan. Skandal ini termasuk 1MDB, SRC International, TH, dan FELDA. 

“Hutang 1MDB sahaja mencecah RM40 bilion, adakah Perdana Menteri bersetuju bahawa beban hutang yang terpaksa ditanggung ini antaranya berpunca daripada hutang yang tidak produktif tersebut?” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan jika Anwar bersetuju tindakan memegang jawatan Menteri Kewangan pada masa sama memegang jawatan Perdana Menteri membuka ruang ke arah terjadinya perkara seperti mana yang terjadi seperti sebelum ini.

Menjawab persoalan itu kata Anwar lagi, memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam satu masa tidak menjadi masalah.

Menurutya, masalah wujud apabila menggunakan kedudukan untuk merompak harta rakyat dan ini terpakai keapda semua individu yang berjawatan.

“Ini terpakai banyak kalangan, yang bersih sebelah sini, sebelah sana jangan bimbang. Tetapi yang terpalit dengan rasuah, itu harus merasa tertekan dan bimbang.

“Saya bertekad apapun telahan yang dibuat, saya akan tekad untuk pentadbiran Kerajaan Perpaduan ini, saya akan gunakan segala usaha mengelak dan menghalang khianat dari segi rasuah yang berleluasa,” katanya.HARAKAHDAILY 14/2/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!