30 ladang babi di Pulau Pinang dijangkiti ASF

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang (JPVPP) telah mengesahkan bahawa penyakit African Swine Fever (ASF) telah menjangkiti 30 ladang babi komersial di negeri itu setakat ini.

- Advertisement -

JPVPP dalam kenyataan berkata sebanyak 19 ladang dijangkiti di Daerah Seberang Perai Selatan; dua di Daerah Seberang Perai Tengah; enam di Daerah Seberang Perai Utara dan tiga di Daerah Barat Daya, melibatkan 68,659 ekor babi.

“Bagi mengawal dan mencegah perebakan penyakit ASF, JPVPP menjalankan polisi ‘stamping out’ menerusi pemusnahan babi di ladang positif atau disyaki terjangkit dalam zon jangkitan dengan berpandukan Protokol Veterinar Malaysia (PVM) bagi penyakit ASF.

“Polisi ini diamalkan dengan tujuan menghapuskan virus supaya penternak dapat menternak semula dengan selamat serta bebas daripada penyakit ASF, seterusnya menjamin bekalan daging babi dalam negara mencukupi,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPVPP langkah pemusnahan dijalankan bermula 5 Jan lepas apabila kes pertama ASF dikesan dan kini, kadar perebakan penyakit dilihat semakin perlahan.

Katanya penemuan karkas babi dengan tanda-tanda klinikal seperti penyakit ASF di rumah sembelih telah berkurang atau tiada serta tiada aduan kematian babi yang tinggi di ladang babi.

Jabatan itu berkata hal tersebut menunjukkan kaedah ‘stamping out’ yang dijalankan memberi kesan yang amat baik dan hingga hari ini, sebanyak 14,385 ekor babi telah dilupuskan daripada 16 ladang.

Dari segi bekalan, JPVPP berkata bekalan daging babi di seluruh negeri mencukupi dengan kadar sara diri (SSL) masih melebihi 100 peratus iaitu terdapat 94 ladang babi negatif ASF dengan 198,586 ekor babi.

“Orang awam dinasihatkan agar tidak berasa cemas dengan kejadian penyakit ASF ini kerana penyakit ini bukanlah penyakit zoonotik dan hanya menjangkiti ternakan babi serta babi hutan, namun, ia merupakan penyakit yang berkepentingan ekonomi,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -