Sistem pengangkutan awam lancar, faktor negara aman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sistem pengangkutan awam yang cekap dan lancar merupakan antara faktor keamanan rakyat sesebuah negara.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Jerantut, Ir Khairil Nizam Khiruddin berkata, kenyataan itu selari dengan Hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan ‘Antara kebahagiaan seseorang ialah rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunggangan yang elok.

Menurut beliau, pengangkutan awam yang lebih cekap bukan sahaja memudahkan pergerakan dan urusan rakyat, malah akan membantu usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang dua kali ganda dikeluarkan kenderaan biasa.

Justeru, beliau amat menyokong Titah Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah supaya kerajaan meneruskan projek infrastuktur pengangkutan awam berimpak tinggi.

Beliau berkata demikian semasa dihubungi Harakahdaily untuk memberi respon mengenai Titah Yang di-Pertuan Agong semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen ke-15, hari ini.

Ir Khairil Nizam

Titah baginda, usaha itu dilihat akan meningkatkan ketersambungan dan kemudahsampaian selain menjana kesan pengganda positif terhadap pertumbuhan ekonomi.

“Penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam bertaraf dunia dan lestari terhadap alam sekitar akan terus diberikan fokus.

“Usaha tersebut dapat direalisasikan melalui pengangkutan yang optimum serta meningkatkan kesedaran rakyat untuk beralih kepada penggunaan pengangkutan yang bercirikan cekap tenaga dan rendah karbon,” titah baginda.

Sementara itu kata Khairil Nizam, secara umumnya beliau menyokong penuh sebarang polisi kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan.

Antara lain adalah usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di bandar dan luar bandar demi memastikan kebajikan mereka terjamin.

Katanya, usaha berkenaan hanya dapat dihasilkan melalui kepimpinan berintegriti dalam sebarang urusan membabitkan pengurusan projek-projek kerajaan. – HARAKAHDAILY 13/2/2023

- Advertisement -