
Dua gempa bumi kuat yang melanda selatan dan tenggara Turkiye, serta meliputi bahagian barat laut Syria pada Isnin (6 Feb) 2023 boleh disifatkan sebagai ‘aneh’, kerana ia adalah yang pertama kali berlaku seumpamanya di Turkiye yang sebelum ini sudah banyak dilanda gempa bumi.
Ia bukan sekadar aneh kerana kejadian pertama kali seumpamanya berlaku di Turkiye, tetapi lebih membuatkan tragedi itu menimbulkan persoalan adalah kerana kesan dua gempa bumi masing-masing pada 7.7 magnitud dan 7.6 magnitud itu meliputi kawasan yang agak luas – berbanding kesemua gempa bumi sebelum ini di negara itu.
Gempa bumi pertama berukuran 7.7 magnitud pada skala Richter itu melanda pada jam 4:17 pagi (01:17 GMT) melanda tenggara dan selatan Turkiye yang berpusat di daerah Pazarcik di wilayah Kahramanmaras – 34 kilometer di barat bandar Gazientep.
Sembilan jam kemudian, gempa bumi 7.6 magnitud itu pula melanda kawasan yang sama – berpusat 95km ke utara-timur laut Wilayah Kahramanmaras.

Gegaran dirasai oleh berjuta-juta penduduk di seluruh wilayah sehingga 1,000 kilometer (621 batu) jauhnya. Gempa bumi bermagnitud 7 dianggap besar.
Sejak tarikh 6 Feb itu, Turkiye telah dilanda lebih 2,100 gegaran susulan bermagnitud 4 atau lebih besar. Gempa susulan ialah gempa bumi yang lebih kecil yang berlaku di kawasan umum yang sama selepas gempa bumi besar berkenaan.
Gempa bumi kali ini adalah yang terkuat di Turkiye sejak gempa bumi Erzincan dengan magnitud sama pada 1939; yang kedua terkuat secara keseluruhan dalam sejarah negara itu selepas gempa bumi Anatolia Utara 1668.
Gempa bumi paling maut di Turkiye, Syria
Ia juga merupakan gempa bumi paling maut di Turkiye sejak gempa bumi Cilicia 1268, dan di Syria sejak gempa bumi Aleppo 1822.
Malah, ia adalah gempa bumi terkuat yang pernah direkodkan di Levant (kawasan di rantau Mediterranean Timur Asia Barat); dan gempa bumi paling dahsyat di seluruh dunia sejak gempa bumi Haiti 2010 – yang mana gegarannya dirasai sehingga ke Mesir, Israel, Palestin, Lubnan, Cyprus, dan pantai Laut Hitam Turk.
Sehubungan itu, berdasarkan pengalaman wartawan berkaliber Anadolu Agency, Iftikhar Gilani yang telah membuat liputan mengenai tiga bencana gempa bumi dalam tempoh 30 tahun lalu, beliau mendapati gempa bumi 6 Feb 2023 di Türkiye-Syria itu tidak pernah berlaku sebelum ini – dari segi kesan kerosakan ke atas kawasan yang luas.

“Saya membuat liputan mengenai gempa bumi Latur 1993 di negeri barat India Maharashtra, gempa bumi Bhuj 2001 di Gujerat berdekatan dan gempa bumi Kashmir 2005.
“Walaupun terdapat lebih banyak kematian dalam ketiga-tiga gempa di atas, ia terhad kepada kawasan yang lebih kecil dalam radius 100 km (62 batu),” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa gempa bumi pada 6 Feb 2023 itu telah menjejaskan 10 wilayah selatan dan tenggara – iaitu Kahramanmaras, Hatay, Osmaniye, Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Malatya, Killis, Adana, dan Adıyaman di Türkiye; dan lima wilayah di Syria – Latika, Idlib, Aleppo, Raqqah, dan Al-Hasakah.
“Di Türkiye sahaja, ia menggegarkan kawasan seluas hampir 100,000 kilometer persegi (38,600 batu persegi) dan menjejaskan lebih 13 juta penduduk.
“Jarak antara Adana dan lokasi lain yang terjejas di Diyarbakir adalah kira-kira 600 kilometer, jadi skala operasi bantuan dan pembendungan adalah sangat besar dan memerlukan sejumlah besar pekerja terlatih,” kongsi anak kelahiran Kashmir, Pakistan ini.

Menurut Gilani, pada 8 Okt 2005, gempa bumi Kashmir menjejaskan dengan teruk kawasan antara Uri di Kashmir yang ditadbir India; dan Balakot di wilayah Khyber Pakhtunkhwa Pakistan, menyebabkan 86,000 orang terkorban, yang dari segi geografi, hanya menjejaskan kaswasan dalam jarak 100 km.
Sementara, ujarnya, dalam gempa bumi Latu pula yang mengorbankan 10,000 nyawa, gegaran itu hanya berlaku di daerah Latur dan Osmanabad di Maharashtra.
“Begitu juga, gempa bumi Bhuj pada tahun 2001, yang meragut 20,000 nyawa penduduk di sebelah India dan 18 nyawa di Pakistan, menjejaskan daerah Bhuj dan Kutch terhad dalam lingkungan jarak 85 km (53 batu).
“Pada Okt 2005, apabila bumi bergegar di Kashmir, saya tiba di wilayah itu pada hari berikutnya dari ibu kota India, New Delhi.

“Memandangkan telefon bimbit baru sahaja diperkenalkan di wilayah itu dan hanya terhad di ibu negara, Srinagar, tiada komunikasi dari kawasan terjejas di Kashmir Utara.
“Perjalanan dari lapangan terbang Srinagar ke kampung halaman saya di Sopore di Kashmir Utara, yang sebahagiannya terjejas, adalah sukar kerana jalan raya telah runtuh di banyak tempat.
“Saya telah diberi tumpang untuk menaiki trak, sebelum terpaksa berjalan kaki dalam jarak yang jauh di tengah-tengah beberapa siri gegaran susulan – sehinggalah saya tiba di kampung halaman saya dan melihat keretakan besar di rumah saya sendiri. Banyak rumah-rumah lama di pekan itu berada di atas tanah. Tetapi tidak ada kematian,” cerita Gilani.
Menurutnya lagi, disebabkan gegaran susulan yang berterusan, penduduk tinggal di jalanan dan di halaman rumah mereka, mengharungi malam bulan Oktober yang sejuk selama beberapa hari.

Kesan positif bencana alam
“Wilayah yang paling terjejas ialah blok pentadbiran Uri yang bersebelahan, terus di sepanjang Garis Kawalan (LoC) yang membahagikan Jammu dan Kashmir kepada kawasan yang dikawal oleh India dan Pakistan.
“Kemusnahan teruk berlaku di rantau ini. Kira-kira 90 peratus daripada keluarga yang tinggal di Uri, sebuah bandar dengan populasi 30,000, terjejas akibat gempa itu.
“Pusat gempa bumi berukuran 7.6 magnitud adalah di Muzaffarabad, ibu kota Kashmir yang ditadbir oleh Pakistan, atau Azad Jammu dan Kashmir, hanya 40 km (25 batu) di seberang LoC,” jelas Gilani.
Tambahnya, menurut Laporan Indeks Risiko Bencana Gempa Bumi 2019, kira-kira 1,500 kematian dan 450,000 bangunan runtuh dilaporkan di Kashmir yang ditadbir India akibat gempa bumi 2005.

“Satu kesan positif bencana itu ialah kurang daripada satu tahun selepas itu, pesaing Asia Selatan, India dan Pakistan bersetuju untuk membuka lima lintasan sempadan di sepanjang garis sempadan yang dikuasai ketenteraan untuk bantuan kemanusiaan dan memulakan proses damai yang berlangsung sehingga 2008.
“Telah ditunjukkan bahawa bencana alam selalunya memberikan masa yang sesuai untuk meningkatkan kemungkinan hubungan rapat antara negara-negara yang bermusuhan,” ungkapnya.
Joakim Kreutz, pakar Sweden dalam kajian keamanan dan konflik, menganalisis 405 bencana yang berbeza di 21 negara dan mendapati bahawa di banyak wilayah, rundingan bermula dan gencatan senjata diwujudkan selepas bencana.
“Apabila gempa bumi Latur berlaku, jarum seismograf di Institut Penyelidikan Geofizik Kebangsaan (NGRI) di Hyderabad berayun melebihi lebar gulungan kertas, walaupun ia mempunyai magnitud 6 pada skala Richter, kurang daripada apa yang dialami Türkiye pada Feb. 6 itu.
“Gempa bumi 1993 juga mengejutkan saintis, kerana Dataran Tinggi Deccan di selatan India dianggap mempunyai sedikit kecenderungan kepada tercetusnya gempa bumi,” jelas Galini lagi.

Gempa tanpa amaran
Tidak seperti bencana lain, ujar Gilani, adalah penting untuk diingat bahawa ketidakpastian gempa bumi menjadikan ramalan yang tepat adalah sukar, walaupun dengan instrumen saintifik yang paling canggih.
“Gempa bumi boleh berlaku tanpa amaran dan mempunyai kesan yang ketara kepada komuniti dan infrastruktur.
“Walaupun Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD) telah menyediakan sistem amaran awal yang memberi penduduk beberapa saat untuk berlindung sebelum gempa bumi melanda, gempa semasa berlaku pada jam 4:17 pagi waktu tempatan (0117GMT), menyukarkan orang ramai untuk bertindak balas,” jelasnya.
Menurut Menteri Dalam Negeri Turkiye, Suleyman Soylu, negara itu terletak di wilayah yang menawarkan peluang besar, tetapi juga berisiko.

“Ini kerana Turkiye terletak di wilayah yang sering terdedah kepada bencana alam yang termasuklah gempa bumi, tanah runtuh, banjir, batu jatuh dan runtuhan salji disebabkan keadaan geologi, metereologi dan topografinya,” ujar Gilani.
Menurutnya lagi, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Türkiye telah mengambil beberapa langkah untuk meminimumkan kematian dan kemusnahan semasa gempa bumi, seperti kod bangunan, pengubahsuaian bangunan sedia ada, perancangan kecemasan dan pendidikan awam.
“Tetapi usaha menyelamat dan pembinaan semula untuk mengurangkan bencana yang menjejaskan sebahagian besar Türkiye dan Syria sekarang ini memerlukan sokongan ramai pihak berkepentingan dan yang paling penting, tenaga kerja mahir untuk membersihkan segala runtuhan konkrit yang kini menimbun di lokasi gempa bumi saat ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!