KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak ahli-ahli parlimen dan Dewan Negara bangun seketika untuk bertafakur sekejap sebagai mengingati ramai rakyat Turkiye dan Syria yang terkorban akibat gempa bumi.
Al-Sultan Abdullah mengajak semua ahli parlimen berdiri dan bagi mereka yang beragama Islam hendaklah membaca al Fatihah.
Baginda melafazkan demikian ketika awal titah perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama Pengggal Kedua Parlimen ke-15 di bangunan parlimen hari ini.
Turut berangkat ke istiadat pada pembukaan parlimen, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sebelum itu baginda berdua tiba di Dataran Parlimen pada jam 10 pagi dan disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan jemaah menteri.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri kemudian diiringi ke Penterana Diraja dan menerima sembah ‘Hormat Diraja’ oleh pasukan Kawalan Kehormat Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Bendera Yang di-Pertuan Agong dikibarkan yang diikuti tembakan meriam 21 das serentak dengan nyayian lagu ‘Negaraku’.
Gempa bumi kuat yang melanda Tukiye dan Syria pada 6 Februari lalu mengorbankan lebih 24,000 penduduk di tenggara Turkiye dan barat laut Syria. – HARAKAHDAILY 13/2/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!