Hentikan politik perkauman, pupuk perpaduan

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

يٰٓاَيُّهَا النَّاسُ اِنَّا خَلَقْنٰكُمْ مِّنْ ذَكَرٍ وَّاُنْثٰى وَجَعَلْنٰكُمْ شُعُوْبًا وَّقَبَاۤىِٕلَ لِتَعَارَفُوْا ۚ اِنَّ اَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللّٰهِ اَتْقٰىكُمْ ۗاِنَّ اللّٰهَ عَلِيْمٌ خَبِيْرٌ

“Wahai manusia, Sesungguhnya Kami (Allah S.W.T) telah menciptakan kamu dari seorang lelaki  (Adam) dan seorang perempuan (Hawwa’), kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di kalangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Teliti”.

(al-Hujurat: 13)

Mutakhir ini kita mula mendengar suara dan tulisan yang membangkitkan sensitiviti dan kebencian terhadap kaum lain. Suatu yang sangat tidak beretika dilakukan.

Kenyataan P. Ramasamy mengenai isu penjawat awam didominasi oleh orang Melayu boleh membangkitkan sensitiviti kaum yang akhirnya melahirkan kebencian antara satu sama lain.

Begitu juga komen bekas atlet badminton yang mendakwa pengurusan di bawah orang Melayu menjadi punca prestasi pemain jatuh. Dakwaan yang tidak menunjukkan kebijaksanaan di dalam mengeluarkan kenyataan.

Keadaan seumpama ini tidak sepatutnya berlaku di dalam negara yang berbilang bangsa dan sudah lama hidup secara rukun. Apa lagi negara kita dibina di atas Prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan yang jelas.

Semua pihak perlulah mengambil sikap cakna dan prihatin dalam menjaga sensitiviti bangsa lain kerana jika ianya tidak diawasi, berkemungkinan akan membawa kepada keadaan yang tidak harmoni di dalam masyarakat.

Generasi muda negara dipupuk dengan semangat perpaduan dan kerjasama, saling menerima dan memberi kelebihan yang ada pada semua pihak. Generasi yang lebih dewasa seharusnya menunjukkan contoh teladan yang mulia kepada generasi muda mudi seperti kata pepatah kepimpinan melalui tauladan dan usah menjadi macam ketam mengajar anaknya berjalan betul.

Justeru PAS Johor menggesa pihak kerajaan agar telus dalam membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang cuba melakukan sesuatu yang boleh mengeruhkan keadaan yang damai. Prihatin, bersih, berintegriti dan stabil ke arah negara yang sejahtera.

“Malaysia Sejahtera”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI,
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor.
22 Rejab 1444
13 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 13/2/2023

- Advertisement -