KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengharapkan satu perancangan ekonomi yang mampan dilaksanakan oleh kerajaan gabungan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (BN-PH)
Ahli Parlimen Pendang, Dato Awang Hashim berkata, dalam titah baginda pada perasmian pembukaan parlimen penggal ke-15 di bangunan parlimen, di sini, hari ini, Agong menyentuh beberapa faktor ekonomi dan kebajikan rakyat.
“Titah Yang di-Pertuan Agong sangat mengharapkan perancangan yang boleh membangunkan ekonomi, kebajikan rakyat.
“Jadi, itu satu penumpuan yang diberikan oleh yang di-Pertuan Agong supaya kerajaan sekarang menumpukan kepada perancangan ekonomi dengan baik untuk jangka masa pendek dan panjang, ini adalah harapan dalam titah Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Beliau berkata, baginda turut mengiktiraf beberapa kejayaan yang dilakukan semasa negara diterajui Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
“Dalam titah baginda, disentuh juga zaman PN atau kerajaan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Sri Ismail Sabri yang dilihat merupakan perkembangan ekonomi semakin baik dan satu peratusan yang amat baik dalam pembangunan ekonomi.
Menurut Awang, prestasi kerajaan PN sepanjang menerajui kerajaan sangat cemerlang yang menurutnya, telah dibuktikan dengan prestasi ekonomi dari segi pertumbuhan kukuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.7 peratus bagi tahun 2022, yang mana antara tertinggi di Asia Tenggara.
“Selama 22 tahun ini satu rekod yang cemerlang dalam pengawalan ekonomi oleh pemerintah sebelum ini,” katanya.
“Justeru, diharapkan perkara itu akan diteruskan (oleh kerajaan BN-PH),” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, disini, hari ini.
Namun, ujar beliau, pada suku pertama 2023, pertumbuhan KDNK negara baru setakat ini mencecah 2.2 peratus.
“Ini menunjukkan kita akan menghadapi satu inflasi pada tahun ini,” katanya.
Kerajaan sepatutnya ‘walk the talk’
Menurut beliau lagi, satu teguran turut diselitkan baginda agar kerajaan hari ini menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat.
“Tapi bagi saya selepas hampir 100 hari ini menjadi kerajaan, tidak ada satu lagi perancangan atau ekonomi ‘master plan’ yang mana boleh melonjak pendapatan negara.
“Sekarang ini, kita tengok hanya lebih tumpu kepada agenda-agenda untuk balas dendam dengan mencungkil benda (perkara) yang sangat umum – yang tidak ada satu tuduhan yang terperinci.
“Maka, ini kita tengok bak ‘cakap tidak serupa bikinlah’ – cakap lain buat lain, sepatutnya ‘walk the talk’ apa yang dia cakap dia buat,” tegas beliau.
Dalam masa sama katanya, sehingga ke hari ini, masih belum nampak kemajuan kerajaan untuk meringankan beban rakyat dengan melaksanakan cadangan yang dikemukakan semasa menjadi pembangkang dahulu.
“Sekarang tidak berlaku lagi terutama kita tengok peranan Menteri Ekonomi iaitu Rafizi Ramli yang dahulu semasa menjadi pembangkang begitu banyak kritikannya tetapi kini bila beliau dilantik sebagai menteri ekonomi tidak ada satu perancangan yang kita lihat sebagaimana mereka cakap dahulu dapat diatasi sehingga kes telur dan ayam mahal pun diberi ulasan seperti main-main sahaja,” katanya.
Dalam titahnya, ujar Awang, baginda turut membicarakan berhubung program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan separa mahir yang berupaya untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.
“Itu memang satu penekanan dan harapan yang paling besar supaya kita tidak bergantung kepada pekerja asing apabila kita melahirkan pekerja mahir dan separa mahir ini dengan kita meningkatkan satu silibus sistem pengajian kemahiran atau sekarang ini lebih dikenali dengan TVET,” ujar Awang.
Tambah beliau, penekanan menurut titah baginda adalah supaya kerajaan menumpukan untuk kita meningkatkan kualiti pembelajaran kemahiran TVETbagi menggantikan pekerja-pekerja asing ini.
“Satu masa nanti, kita mempunyai modal insan sendiri yang berkemampuan; dan kita juga ada pekerja-pekerja separa mahir yang boleh membantu meningkatkan perkembangan ekonomi. Di samping itu juga kita boleh mengurangkan pengaliran wang negara ke negara lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!