Agong seru kerajaan fokus penyediaan infrastruktur awam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru agar kerajaan memberi tumpuan terhadap penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam melalui kemampanan sektor pembinaan. 

- Advertisement -

Agong bertitah, Dasar Pembinaan Negara (NCP 2030) akan memberi fokus kepada pendigitalan serta kemampanan sektor pembinaan dan mengangkat penyelenggaraan infrastruktur bagi memastikan pengurusan aset dan kemudahan lebih berkesan.

“Kerajaan juga hendaklah meneruskan projek-projek infrastruktur pengangkutan awam berimpak tinggi bagi meningkatkan ketersambungan dan kemudahsampaian.

“Di samping menjana kesan pengganda yang positif terhadap pertumbuhan ekonomi. Penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam bertaraf dunia dan lestari terhadap alam sekitar akan terus diberikan fokus. 

“Usaha tersebut dapat direalisasikan melalui pengangkutan yang optimum serta meningkatkan kesedaran rakyat untuk beralih kepada penggunaan pengangkutan yang bercirikan cekap tenaga dan rendah karbon,” titah baginda pada perasmian pembukaan parlimen penggal ke-15 di bangunan parlimen, di sini, hari ini.

Baginda juga bertitah bahawa sektor agrikomoditi memberi sumbangan yang signifikan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Titah baginda pendapatan eksport negara dan pembangunan masyarakat luar bandar khususnya mengurangkan jurang pendapatan serta kadar kemiskinan penduduk. 

“Bagi tempoh Januari hingga September 2022, sektor ini menyumbang sebanyak RM61.3 bilion iaitu 5.5 peratus dari keseluruhan KDNK,” titah baginda.

Hindari gejala pelampau gugat keharmonian kaum

Dalam pada itu, titah baginda lagi, semangat muhibah dan saling menghormati antara kaum adalah asas kepada kestabilan negara.

“Agenda perpaduan dalam konteks kebudayaan juga perlu diberi tumpuan melalui pelaksanaan program-program berorientasikan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. 

“Ia juga selaras dengan ajaran Islam yang menganjurkan umatnya untuk mengamalkan sifat tasamuh atau toleransi dan menghindari gejala pelampau yang boleh menggugat keharmonian kaum,” titah baginda.  

Baginda turut menyambut baik inisiatif untuk memperkukuh agenda pembangunan ummah berasaskan prinsip Maqasid Syariah dalam  pentadbiran negara. 

“Ia merangkumi aspek pemerkasaan pengurusan hal ehwal Islam seperti pendidikan Islam, undang-undang Syariah, institusi kekeluargaan. Selain itu, pensijilan halal Malaysia dan pendidikan Tahfiz al-Quran. 

“Usaha tersebut penting bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai kekuatan kerohanian, intelektual dan sahsiah diri yang unggul,” titah baginda. –HARAKAHDAILY 13/2/2023

- Advertisement -