KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengalu-alukan usaha membendung ketirisan awam.
Titah baginda, usaha berkenaan termasuk inisiatif untuk mempercepat dan memastikan mekanisme pemberian subsidi bersasar mencapai matlamatnya dengan lebih berkesan.
“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada menerima tempias cabaran ekonomi global, termasuk ketidaktentuan ekonomi pasca Covid-19, krisis geopolitik yang membawa kesan kepada rantaian bekalan dan tekanan inflasi yang meningkatkan kos sara hidup,” titah baginda.
Agong bertitah sedemikian semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen ke-15, di sini, hari ini.
“Bagi mendepani cabaran ini, beta mengalu-alukan usaha untuk membendung isu ketirisan awam termasuk inisiatif untuk mempercepat dan memastikan mekanisme pemberian subsidi bersasar mencapai matlamatnya dengan lebih berkesan.
“Bagi membudayakan integriti dan memperkukuh tadbir urus, beta menghargai komitmen serta tekad kerajaan beta untuk membanteras rasuah secara agresif dengan menumpukan kepada aspek perolehan, penguatkuasaan dan rasuah berskala besar,” titah baginda. –HARAKAHDAILY 13/2/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!