Agong berpandangan jauh tekankan kepentingan S & T, inovasi

Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpandangan jauh apabila menekankan kepentingan sains dan teknologi (S & T), dan inovasi dalam memacu pembangunan negara. 

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata demikian sebagai  mengulas titah Agong pada perasmian pembukaan parlimen penggal ke-15 di bangunan parlimen, di sini, hari ini, agar kerajaan memberi tumpuan kepada inovasi sosial bagi melahirkan budaya inovatif dalam kalangan rakyat; dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi penggunaan teknologi.

Menurut Amzad, usaha menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan dan berteknologi tinggi perlu berpaksikan penerimagunaan teknologi baharu serta penciptaan dan pembangunan teknologi sendiri.

“Baginda secara spesifik menyebut program Techlympics yang merupakan antara program paling berjaya dianjurkan oleh MOSTI yang melibatkan penyertaan meluas bakat sains dan teknologi dari seluruh negara dalam mencungkil pelbagai inovasi dalam mencari solusi dalam pelbagai pernyataan masalah yang diketengahkan.

“Begitu juga peranan Pusat Sains dalam memupuk minat rakyat terhadap sains dan teknologi selain membudayakan inovasi,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa  apabila Agong bertitah tentang inovasi sosial, ia adalah jelas bahawa baginda tidak mahu melihat penekanan soal sains, teknologi hanya dalam kelompok industri dan institusi semata mata. 

“Ia  perlu sampai kepada rakyat marhaen, yang man sains dibudayakan dan menjadi sebahagian cara hidup rakyat dalam pelbagai peringkat. 

“Keterujaan untuk mencipta pelbagai inovasi dalam menyelesaikan pelbagai masalah rutin dalam hidup seharian mempermudahkan urusan harian perlu dipupuk,” tegasnya.

“Kerana itu saya berharap agensi seperti Yayasan Inovasi Malaysia dapat meluaskan lagi usaha membantu memperkembangkan pelbagai ciptaan yang berpotensi dihasilkan oleh rakyat kebanyakan,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap Dana Malaysia Social Innovation (MySI) yang disediakan oleh MOSTI dapat ditingkatkan lagi jumlahnya dalam usaha mengetengahkan teknologi tempatan yang berinovatif. 

“Permohonan berpotensi adalah banyak tapi dana tidak cukup. Saya juga ingin melihat inovasi sosial yang berpotensi dapat berkembang maju menjadi perniagaan yang menjana pendapatan untuk rakyat.

“Saya juga mengalu-alukan segala usaha untuk menambah baik apa yang telah diusahakan, memberikan pandangan dan sedia untuk membantu menjayakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/2/2023

- Advertisement -