Bila yang dijajah, tiada rasa terhina

- Advertisement -

BILA kita menyentuh berkenaan isu penjajahan, kita tidak dapat lari daripada menyebut mengenai kesan pemerintahan yang ditinggalkan oleh pihak yang menjajah. Sama ada dari sudut budaya, bahasa, mahupun agama, ia sedikit sebanyak akan dicemari oleh tangan penjajah itu.

Dan untuk lebih spesifik, penjajahan adalah dirujuk kepada empayar bukan-Islam sahaja, kerana empayar Islam, apabila menawan sesuatu negara itu, akan disebut sebagai pembebasan. Bebas dari kekejaman pemerintah terdahulu dari segi perhambaan kepada manusia dan materi, kepada perhambaan kepada Allah.

Apabila Sepanyol dikuasai oleh Raja Ferdinand dan Ratu Isabella, setelah kegagalan Kerajaan Andalusia di Sepanyol, diperintah mengikut kehendak Allah, mereka berdua telah berpesta membunuh dengan menyembelih umat Islam di sana. Kepada yang masih hidup, diberikan pilihan sama ada hidup sebagai Kristian atau keluar dari Andalusia atau dibunuh.

Maka hasil daripada kegagalan pemerintah Islam ketika itu, akibatnya amat buruk, menjalar kepada seluruh rakyat, menjadikan seluruh Sepanyol menjadi murtad, malah bertukar pula kepada penentang Islam yang kuat. Semua budaya dan yang ada, telah ditukar dan mengikut kepada pembaharuan yang diperkenalkan oleh Ratu Isabella dan Raja Ferdinand. Mereka kemudiannya cuba melebarkan sayapnya sehingga ke Asia, dan berjaya memurtadkan negara Islam lain, antaranya Filipina. Hasil dari tindakan dendam ini juga, Perang Salib berterusan.

Cerdiknya penjajah

British, adalah salah satu penjajah yang terbesar sewaktu zaman kegemilangan mereka. British agak berlainan pendekatan mereka berbanding dengan kuasa besar yang lain. British tidak memaksa orang menganut Kristian kerana mereka tidak mahu umat Islam bangkit lalu mengetahui bahawa British sedang menjalankan Perang Salib secara senyap. Mereka melakukan dahulu kajian sangat terperinci kepada negara yang mahu mereka tawan, berkenaan budaya, bangsa, agama dan kekayaan.

Ini terbukti apabila runtuhnya Kerajaan Uthmaniyyah, para pimpinan tertinggi British pergi ke kubur Salahuddin Al-Ayubi di Damsyik seraya menyeru agar Saladin (panggilan mereka) untuk bangun dari kubur dan menentang mereka. Sewaktu detik hitam ini berlangsung, nun di luar sana, rakyat Arab sedang menari kegembiraan menyambut apa yang mereka gelar sebagai ‘revolusi’ merobohkan sistem khalifah terakhir Islam dengan membantu British dengan tangan mereka sendiri.

Bukti lain ialah Presiden Bush dimarahi kerana kenyataan bodohnya yang menyebut berkenaan perang Salib, ketika serangan ke atas Afghanistan dilakukan. Ketakutan musuh Islam jelas, tidak mahu orang Islam bersatu dan saling membantu dalam hidup mereka kerana pastinya kekuatan Islam tidak dapat mereka kalahkan. Betapa ruginya perpecahan di dalam Islam.

British menjajah India

Apabila British menakluki India, mereka telah berjaya menyedut keluar hasil kekayaan India berjumlah sehingga ratusan trilion dolar. Selain hasil bumi India, British menggunakan sistem percukaian dan kewangan yang korup yang sangat licik, bagi mengabui mata orang India. Lalu untuk mencantikkan keberadaan mereka di sana, India diberikan pembangunan yang mana nilai sebenarnya itu, jauh lebih rendah daripada hasil yang mereka rompak. Dua ratus tahun, India ditipu British. Majoriti orang India membenci British kerana perompakan ini, setelah mereka sedar.

Setelah British keluar dari India, orang India berkelahi sesama sendiri pula, sama ada berebut kuasa atau kerana ekstrem agama. Khashmir sengaja diletakkan British sebagai titik panas yang sangat mudah terbakar antara India, Pakistan dan China. Sehingga kini, India tiada Bahasa Kebangsaan. Yang ada hanyalah bahasa rasmi iaitu Devanagari dan Bahasa Inggeris.

Lihat, mereka terpaksa menggunakan bahasa penjajah yang mereka benci bagi berkomunikasi sesama mereka, sedangkan semenjak berzaman dahulu, mereka hidup tanpa masalah komunikasi. Jika mereka mahu mencari peluang kekayaan pula, kebanyakan mereka pada zaman itu, akan ke United Kingdom untuk berniaga. Sehinggakan Perdana Menteri Britain sekarang ini asal keturunannya adalah dari India. 

Manakala peniaga-peniaga India yang bernaung di bawah Syarikat India Timur, tahu akan betapa korupnya sistem British, terpaksa mendiamkan diri mereka kerana juga mahu mengaut keuntungan. Sebaliknya, mereka turunkan bebanan cukai itu kepada rakyat. Mereka secara perlahan-lahan, turut menjadi kapitalis yang mencekik bangsa mereka.

Empayar Islam sebagai pembebas

Sementara itu, ia berbeza pendekatan yang dilakukan oleh empayar Islam terhadap negara taklukannya. Islam mesti diberikan ruang untuk diperkenalkan. Dalam masa yang sama, tiada paksaan terhadap penganut agama lain jika tetap mahu kekal dalam agama mereka. Jizyah dikenakan sebagai janji keselamatan terhadap mereka, sebagai warganegara, bukan sebagai keuntungan atau penindasan ekonomi. Haram membunuh nyawa mereka, selagi mereka tidak melawan Islam. Ini adalah jaminan Rasulullah.

Betapa banyak rakyat bukan Islam yang bersetuju dengan pemerintahan Islam dan merasa selamat berbanding dengan pemerintah orang mereka sendiri. Hiduplah mereka berkurun lamanya di bawah sayap empayar Islam dengan kemudahan kepada mereka untuk mengamalkan agama, budaya dan pekerjaan harian mereka, asalkan tidak bertentangan dengan undang-undang.

Islam kekal relevan sebagai pemerintah yang sangat berjaya bagi hal dunia dan akhirat, selagi pemerintah itu berpegang kepada prinsip Islam. Sebagaimana kata Saidina Umar bahawa kita semua dimuliakan kerana Islam. Yang jelas Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripada Islam, pesan Rasulullah kepada kita. Kita akan selamat jika mengambil Islam sebagai perisai.

Umno tidak rasa seperti dijajah

Setelah Umno kalah teruk dan terhina dalam PRU15, mereka kemudiannya terpaksa menyerahkan kerusi Perdana Menteri kepada PH, dengan mengadakan satu perjanjian pintu belakang antara mereka. PH yang dianggotai oleh PKR, DAP dan PAN itu serta musuh utamanya, Umno, masing-masing tanpa segan, malu mahupun bermaruah, menerima sesama mereka, setelah londehan demi londehan dilakukan semasa kempen PRU.

Ironinya, mereka bermaafan sesama mereka, tetapi rakyat menjadi bingung melihat drama ini kerana kemaafan mereka itu adalah kesalahan yang dilakukan mereka terhadap rakyat seperti rasuah, salah guna kuasa, tidak menunaikan janji PRU, melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh musuh mereka. Pelik, kenapa tidak meminta maaf kepada rakyat? Dosa mereka terampunkah?

Rakyat juga memilih calon parti A bagi lari dari calon parti B yang amat mereka benci. Akhirnya mereka mendapat kedua-duanya sebagai pakej PRU, tawaran istimewa, beli satu percuma satu, tetapi percuma barang buruk. Bermakna penipuan mereka terhadap rakyat, rupanya semakin membesar. Selain gagal menunaikan tanggungjawab dahulu, mereka juga menipu ahli mereka, dengan siapa mereka akan bergabung.

Mereka tidak ubah seperti pedagang-pedagang India yang bergabung di bawah Syarikat India Timur yang mana, tangan mereka sendiri yang mencekik leher ahli-ahli mereka yang jujur dan ikhlas untuk lari dari kejahatan lawan mereka. Akhirnya mereka tunduk kepada musuh, dalam kandang mereka sendiri dan sekarang berbahasa dengan bahasa musuh yang menjajah mereka. Mereka tertipu, tidak mempercayai apatah lagi mahu kembali kepada kumpulan Islam. Kasihan.

MOHD NASIR ABDULLAH
12 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 12/2/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -