HATAY, Turkiye: Angka kematian akibat dua gempa bumi besar yang melanda Turkiye dan Syria kini meningkat menghampiri 30,000, dalam pada perompak yang muncul di jalanan ditangkap.
Ketika penyelamat terus menggali runtuhan untuk mencari mangsa yang terselama, kerajaan Turkiye telah menahan 48 individu kerana merompak, lapor Anadolu Agency.
Naib Presiden Turki, Fuat Oktay memberitahu dalam sidang akhbar pada hari ini (Sabtu, waktu tempatan), jumlah yang terkorban di Turkiye kini mencecah 24,600; sementara di Syria pula, menurut Syrian Observatory for Human Right, angka kematian terkini berjumlah 5,189.
Jumlah kematian itu kini jauh melebihi angka korban gempa bumi 1999 berhampiran Istanbul, Turkiye apabila kira-kira 18,000 orang dilaporkan maut.
Sementara itu, tambah laporan Anadolu Agency, beribu-ribu orang masih hilang, kira-kira 80,000 cedera dan lebih 6,400 bangunan di Turkiye telah musnah sama sekali.
“Beribu-ribu bangunan yang dilanda gempa bumi berkembar tidak boleh digunakan walaupun ia tidak runtuh.
“Selepas memeriksa hampir 133,000 bangunan di 10 wilayah yang terjejas akibat gempa bumi, didapati bahawa 12,617 daripadanya mengalami kerosakan teruk dan tidak lagi digunakan dengan selamat,” jelas Ketua Jabatan bagi Hal Ehwal pembinaan di Kementerian Alam Sekitar, Pembandaran dan Perubahan Iklim Turkiye, Banu Aslan.
Laporan itu juga menyebut bahawa dua daripada 48 perompak jalanan yang ditahan didakwa menyamar sebagai pekerja bantuan dan cuba merompak enam buah lori yang membawa bekalan makanan untuk mangsa gempa di wilayah selatan Hatay.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata sekali lagi pada Sabtu bahawa perompak jalanan akan ditangkap dan dihukum.
Menurut Anadolu Agency lagi, dua kapal gergasi yang digunakan sebagai kapal pendaratan untuk tentera Turkiye telah dihantar ke selatan negara itu untuk berkhidmat sebagai hospital bagi yang cedera, dengan 560 katil di setiap kapal.
“Penjagaan perubatan di atas kapal akan termasuk pembedahan untuk kecederaan fizikal dan ortopedik,” ujar laporan tersebut. – HARAKAHDAILY 12/2/2023