‘Terima kasih YB Beserah’

Andansura Rabu (dua, kanan) ketika menziarah dan menyampaikan sumbangan kepada Azizah Mohd Yusop di Kampung Seberang Balok.
- Advertisement -

KUANTAN: “Terima kasih YB Beserah kerana prihatin dengan nasib menimpa saya,” luah ibu tunggal, Azizah Mohd Yusop, 46.

- Advertisement -

Ibu kepada dua anak yang sedang menderita penyakit tiga serangkai iaitu buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi mengakui bertuah menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu di rumahnya di Kampung Seberang Balok, di sini.

Menurutnya, kehadiran ADUN Beserah itu sudah cukup memberi kelegaan buat dirinya sekeluarga yang sebelum ini hidup diibaratkan kais pagi makan, kais petang makan petang.

“Sebelum ini, saya hanya dengar nama YB, tak sangka pula YB sendiri datang ke rumah dan tolong saya sekeluarga. Beliau beri bantuan kewangan dan keperluan makanan.

“Ini semua sudah memberi kegembiraan berganda buat saya sekeluarga, sudahlah kehidupan saya ini bergantung sepenuhnya kepada anak sulung yang terpaksa keluar mencari,” katanya yang tidak mampu bekerja disebabkan masalah mata dan kaki sebelah kiri dipotong sejak lapan bulan lalu.

Kini, anak sulungnya, Aziatul Alia Jamil, 19, terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan bekerja sebagai pembantu kedai makan.

Jelasnya, menerusi pendapatan diperolehi seharian itu digunakan untuk menyara kehidupan seharian dan perbelanjaan adik yang masih bersekolah.

Azizah turut memaklumkan dirinya perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu akibat masalah buah pinggang.

Jelasnya, namun kos rawatan itu ditanggung sepenuhnya oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana sebelum ini pernah bekerja sebagai kerani di koperasi Felda.

“Saya sangat bersyukur sangat kerana kos dialisis ditanggung oleh Perkeso. Kalau tiada bantuan ini (Perkeso) saya terpaksa mengeluarkan belanja hampir RM250 untuk setiap kali sesi dialisis.

“Saya juga perolehi bantuan daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) sebanyak RM450 sebulan dan wang itu digunakan untuk membayar sewa rumah dan bil utiliti,” ujarnya yang tabah mengharungi kehidupan tanpa mengharapkan bantuan daripada sesiapa.

Sementara itu, Andansura yang Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, memaklumkan pihaknya sudah menyalurkan bantuan kewangan kepada keluarga ini.

“Kita akan teruskan dengan bantuan keperluan makanan secara bulanan, Insha-ALLAH dan kita sedang usahakan untuk bantuan daripada zakat.

“Bantuan persekolahan juga akan diberikan dan kita berusaha dan cuba pantau keadaan keluarga ini,” jelas. – HARAKAHDAILY 11/2/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!