GOMBAK: Ahli dan pimpinan PAS diingatkan supaya jangan berasa selesa dan selamat kerana berada dalam gerakan Islam sebaliknya perlu sentiasa bermuhasabah bagi mengelak daripada melakukan perbuatan yang berdosa.
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, dengan muhasabah setiap hari dapat menjauhkan diri daripada sifat sombong dan rasa sempurna diri.
“Hanya diri sendiri yang lebih memahami kelemahan, kekuatan dan keaiban serta dosa pahala dalam diri.
“Melalui tarbiyah dzatiyah kita dapat memperbaiki diri sendiri seterusnya membentuk peribadi muslim yang baik,” katanya ketika membentangkan kertas kerja ‘Tarbiyah Dzatiyah: Bersungguhkah Kita’, dalam Liqa’ Fikri, di Dewan Dato’ Fadzil Mohd Nor, KUIZM, di sini, pagi ini.
Pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Pusat itu berkata, apabila individu Muslim telah dibentuk maka akan berlaku perubahan dan penambahbaikan dalam keluarga, jamaah, masyarakat dan negara.
Katanya, tarbiyah dzatiyah tidak sukar dilakukan kerana tidak bergantung kepada orang lain, masa dan tempat tertentu.
Tambah beliau, tarbiyah dzatiyah menjadikan seseorang abna’ al-harakah iaitu mampu bertahan dalam pelbagai ujian dan cabaran dakwah serta politik.
“Ia tidak mudah malas dan lesu atau tergelincir dalam jalan dakwah dan ibadahnya, tidak mudah kendur semangat juangnya.
“Pemikirannya tidak jumud kerana giat mencari ilmu untuk meningkatkan intelek dan kefahaman dalam beragama,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.
Beliau menegaskan tarbiyah dzatiyah adalah satu wasilah untuk terus sabar dan istiqamah dengan ajaran Islam dan perjuangan walaupun keseorangan. – HARAKAHDAILY 11/2/2023