Brazil sanggup tunggu demi dapatkan Ancelotti

Ancelotti berpengalaman membimbing tujuh kelab bola sepak.
- Advertisement -

Persatuan Bola Sepak Brazil (CBF) akan menunggu sehingga musim bola sepak Eropah 2022-23 berakhir untuk mengisi kekosongan jawatan pengurus Brazil dengan jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti, sebagai pilihan utama.

- Advertisement -

Selepas pemergian Tite berikutan kekalahan kepada Croatia di peringkat suku akhir Piala Dunia, Presiden CBF Ednaldo Rodrigues memberitahu sidang akhbar pada November lalu bahawa beliau mahu mencari penggantinya antara Januari dan Februari.

Bagaimanapun, sumber memberitahu Reuters bahawa Rodrigues mengubah fikirannya dan sedia mengambil masa lebih lama kerana matlamatnya kini adalah untuk menandatangani pengurus bertaraf dunia untuk memimpin Brazil ke Piala Dunia 2026 di Amerika Utara.

Ini bermakna perlawanan antarabangsa Brazil pada Mac dan Jun ini akan dikendalikan oleh jurulatih bawah 20 tahun, Ramon Menezes sebagai pengurus sementara.

Sasaran utama Brazil ialah Ancelotti, walaupun sumber rapat dengan semua pihak yang terlibat memberitahu Reuters bahawa tiada rundingan dilakukan antara CBF, Ancelotti dan kelab Sepanyol itu.

Mengikut media Brazil Globo, Presiden CBF Rodrigues merancang untuk bertemu dengan Presiden Real, Florentino Perez dalam beberapa minggu akan datang sebelum membuat sebarang tawaran rasmi kepada jurulatih itu yang kontraknya dengan kelab itu sehingga 2023-24.

Namun, sumber yang rapat dengan pengurus Itali itu, memberitahu Reuters bahawa beliau mahu memberi tumpuan kepada tugasnya di Real Madrid dan hanya akan membincangkan masa depan bersama kelab itu pada penghujung musim.

CBF pula mengeluarkan kenyataan menafikan laporan bahawa telah mencapai persetujuan lisan dengan Ancelotti, dengan mengatakan bahawa “perkara itu ditangani secara telus dan pengurus yang dipilih akan diumumkan pada masa yang sesuai.”

“Saya mempunyai kontrak bersama Real Madrid sehingga 2024 dan berhasrat untuk memenuhinya. Saya tidak tahu apa yang dilaporkan di Brazil mengenai saya,” kata Ancelotti pada sidang akhbar di Maghribi sebelum Real Madrid menentang Al Hilal dari Arab Saudi dalam final Piala Kelab Dunia.

Menunggu hingga penghujung musim membolehkan CBF mempunyai visi yang lebih jelas tentang landskap pengurusan dan nama lain yang ada jika rundingan dengan Real dan Ancelotti tidak berjalan lancar.

“Kami mahukan pengurus kelas tinggi dengan prestij antarabangsa,” kata sumber CBF kepada Reuters.

Berikutan Pep Guardiola dari Manchester City dianggap tidak dapat dicapai, nama biasa seperti Jose Mourinho dari AS Roma atau Jorge Jesus dari Fenerbahce dilihat sebagai calon pengganti.

Di kalangan warga Brazil, Fernando Diniz dari Fluminense adalah antara jurulatih kegemaran dalam CBF. – REUTERS

- Advertisement -