Bertindak segera bela nasib pekebun kecil, penoreh getah

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KERAJAAN perlu mengelak daripada menuding jari kepada pihak lain dan segera bertindak untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pekebun kecil dan penoreh getah yang amat terkesan disebabkan oleh kejatuhan harga getah.

- Advertisement -

Umum sedia maklum bahawa kejatuhan harga getah disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya disebabkan oleh kelembapan ekonomi global, ketidaktentuan daripada krisis Russia-Ukraine, harga minyak dunia dan isu melibatkan ketidakseimbangan antara permintaan berbanding penawaran bekalan getah asli. 

Bahkan baru-baru ini  Laporan Global Economic Prospects yang diterbitkan pada bulan Januari 2023 oleh Bank Dunia juga telah memberikan amaran berkenaan pertumbuhan perlahan eksport negara khususnya dalam pasaran komoditi disebabkan oleh gangguan perdagangan.

Gangguan ini berkaitan dengan  kekurangan bekalan dan harga makanan, baja serta tenaga akan menjadi lebih tinggi. Ekonomi yang bergantung kepada komoditi dan eksport seperti Malaysia amat terdedah kepada permintaan luar yang perlahan termasuk dari China.

Menyedari hakikat permasalahan ini, kami mengesyorkan lima inisiatif yang perlu diambil oleh kerajaan bagi memastikan kesejahteraan penoreh getah dan pekebun kecil di Malaysia.

Pertama, kerajaan perlu bertindak segera dengan menyalurkan bantuan bulanan yang bersesuaian kepada semua pekebun kecil dan penoreh getah dengan kadar segera sehingga harga getah kembali stabil di pasaran.

Kedua, Kerajaan perlu menaikkan kadar bantuan tanam semula pokok getah bagi  mengantikan pokok getah yang tua dan tidak ekonomik bagi menggalakkan pekebun kecil menanam semula getah dari klon yang berkualiti tinggi.

Ketiga, Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberikan subsidi dan penetapan harga lantai getah  bagi mengimbangi kejatuhan harga pasaran getah global pada ketika ini.

Keempat, selain daripada bergantung kepada pendapatan melalui getah, pendapatan sampingan lain bagi pekebun kecil dan penoreh getah juga boleh diperkenalkan oleh kerajaan melalui dana atau geran khas untuk melaksanakan  tanaman lain yang bersesuaian atau menceburi bidang penternakan secara integrasi di dalam kebun getah.

Akhir sekali, kerajaan juga perlu mencontohi negara jiran seperti Thailand yang lebih ke hadapan dalam memperkenalkan teknologi terkini kepada pekebun kecil bagi menarik minat golongan belia untuk menjadi usahawan yang berasaskan kepada industri getah.

Keprihatinan kerajaan dalam hal ini amat penting bagi memastikan industri getah di Malaysia tidak menjadi seperti hidup segan, mati tak mahu. Gunakanlah kuasa yang ada untuk kepentingan rakyat yang memerlukan.

“Malaysia Sejahtera”

YB Ir. Ts. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Jerantut
Bertarikh: 20 Rejab 1444 | 11 Februari 2023 – HARAKHADAILY 11/2/2023

- Advertisement -