Kerajaan Pahang didesak selesai isu PAKR Taman Jaya Diri

Pemimpin PERIKATAN NASIONAL Pahang mengadakan tinjauan di projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di Taman Jaya Diri, didakwa terbengkalai kira-kira 11 tahun.
- Advertisement -

MARAN: Kerajaan Pahang yang diterajui Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) didesak supaya meneruskan semula pembinaan projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di Taman Jaya Diri, didakwa terbengkalai kira-kira 11 tahun lalu.

- Advertisement -

Desakan itu dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak selepas melihat tiada sebarang perkembangan terkini, sedangkan kerajaan negeri sudah melantik Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) untuk menyambung kerja-kerja pembinaan ini.

Beliau berkata, hasil tinjauan daripada pemimpin PERIKATAN NASIONAL (PN) juga mendapati kawasan tersebut dipenuhi semak samun dan banyak kerosakan serta keretakan yang dikesan pada rumah-rumah terbengkalai itu.

“Kalau kita lihat seperti tiada tindakan daripada pihak yang dilantik kerana keadaannya masih sama. Kerajaan Pahang seharusnya berperanan dan bertegas dalam memastikan semua projek pembinaan seliaan disiapkan mengikut perancangan.

“Kita sebagai ADUN Pembangkang tidak mahu kegagalan Kerajaan Pahang untuk melaksanakan projek perumahan mampu miliknya yang membawa kepada penantian berpanjangan kepada pemohon,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum itu, beliau bersama kepimpinan PAS negeri iaitu Pesuruhjaya, Ustaz Rosli Abdul Jabar; timbalannya, Andansura Rabu, Ketua Penerangan, Mohd Tarmizi Yahaya, dan Pengerusi Biro Pendidikan  Parti Pribumi Bersatu negeri, Datuk Jasri Jamaludin yang merupakan ADUN Kuala Sentul.

Projek PAKR itu dimajukan sebuah syarikat tempatan dengan kos sendiri di bawah projek silang kerajaan negeri yang mula pembinaan pada 1999.

Kerajaan menukar projek itu dengan tanah seluas 26 hektar di Mukim Bukit Segumpal sebagai anugerah dan hanya sempat dalam pembinaan sehingga 2011.

Namun projek terbabit didakwa mula terbengkalai mulai 2012 sehingga sekarang tanpa sebarang aktiviti.

Difahamkan sebanyak 186 unit rumah telah dibina di kawasan terbabit.

Dalam pada itu, Mujibur Rahman mahu Kerajaan Pahang mengambil cakna dalam setiap projek perumahan seliaan kerajaan negeri bagi memastikan pemohon dan pembeli tidak berdepan dengan risiko sebegitu.

Katanya, penyelesaian isu rumah terbengkalai bukan hanya memberi fokus kepada kawasan di sekitar Maran sahaja, sebaliknya seluruh Pahang.

Selain itu, beliau berkata, pemohon sudah lama menunggu untuk memiliki kediaman itu, malah kemungkinan ada sebahagian daripada pemohon telah meninggal dunia.

“Dalam keadaan sekarang, rakyat perlukan rumah mampu milik dan sebagai pembangkang sedaya upaya akan mendesak kerajaan Pahang bagi kepentingan rakyat,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 10/2/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!