Gempa paksa Hatayspor tarik diri dari liga Turkiye

Christian Atsu (kiri) dan Taner Savut masih belum ditemui.
- Advertisement -

Hatayspor membuat keputusan menarik diri dari Liga Super Turkiye berikutan gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu minggu ini, kata Presiden Kesatuan Kelab Turkiye, Ali Koc.

- Advertisement -

Pemain sayap Hatayspor dari Ghana, Christian Atsu, pula masih hilang walaupun naib presiden kelab itu memberitahu awal minggu ini bahawa Atsu telah diselamatkan daripada runtuhan akibat kecederaan dan dibawa ke hospital.

Agensi Anadolu Turkiye melaporkan bahawa pengarah sukan kelab itu, Taner Savut, masih hilang atau di bawah runtuhan.

“Hatayspor menghantar surat. Mereka memberitahu kami tidak akan bermain perlawanan musim ini,” kata Koc pada sidang media bersama Presiden Persekutuan Bola Sepak Turki (TFF), Mehmet Buyukeksi.

“Jika Gaziantep FK juga mahu menarik diri dari liga, kami merancang untuk meneruskan dengan 17 pasukan dengan syarat hak kedua-dua kelab ini kekal utuh,” katanya yang memberitahu bahawa Gaziantep belum membuat keputusan untuk menarik diri.

Wilayah Gaziantep terletak berhampiran pusat gempa bumi dan terjejas teruk.

Hatayspor berada di tempat ke-14 liga utama Turki, manakala Gaziantep di tempat ke-10. Pengarah Hatayspor, Volkan Demirel tidak menjawab permintaan untuk komen.

Liga Turkiye yang kini ditangguhkan dijangka disambung semula pada 3 Mac.

Angka kematian akibat gempa bumi yang melanda Turki dan Syria melepasi 21,000 orang dengan TFF mengesahkan kematian beberapa pemain dan jurulatih dari beberapa kelab. – REUTERS

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!