Rumah Mampu Milik di Malaysia masih belum mampu dimiliki

- Advertisement -

ISU terbesar yang menjadi kerisauan di Malaysia adalah harga rumah di Malaysia sangat tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan rakyat di kebanyakan negeri.

Berdasarkan laporan tahunan Bank Negara Malaysia 2021, nisbah harga rumah kepada pendapatan di Malaysia ialah 4.7 dengan median harga rumah pada tahun 2020 ialah RM295,000 manakala median pendapatan tahunan rakyat Malaysia pada tahun 2020 ialah RM62,508. 

Pendapatan yang tidak mencukupi dan tahap hutang rakyat Malaysia yang tinggi adalah dua punca yang menyumbang kepada faktor ketidakmampuan memiliki rumah.

Faktor tersebut terjadi apabila harga rumah meningkat lebih cepat daripada pendapatan. Daripada tahun 2014 sehingga 2020, pendapatan meningkat hanya pada kadar 2.1 peratus berbanding harga rumah pada kadar 4.1 peratus.

65 peratus bakal peminjam pula sudah mempunyai hutang yang sangat banyak apabila mengambil pinjaman kereta atau pinjaman peribadi kemudian mengehadkan kemampuan mereka untuk membuat pinjaman baru untuk membeli rumah.

Bekalan rumah mampu milik juga tidak mencukupi. Jika rumah mampu milik adalah di bawah harga RM300,000 satu isi rumah itu perlu memiliki pendapatan sekitar RM100,000 setahun atau RM8,333 sebulan.

Hanya ada 36 peratus unit perumahan yang dilancarkan setakat tahun 2021 berharga RM300,000 ke bawah sedangkan 76 peratus isi rumah di Malaysia memiliki pendapatan RM8,333 ke bawah.

Membawa masuk pakar HDB dari Singapura untuk menasihati KPKT bukan penyelesaian utama daripada masalah utama yang berlaku di Malaysia.

“Tiada keperluan untuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendapatkan kepakaran HDB. Keperluan yang ada sekarang adalah untuk atasi masalah perumahan di bandar yang padat seperti di Lembah Klang.” – Fahmi Bahrudin, penyelidik Institut IRIS. 

Kerajaan perlu penyelesaian yang lebih menyeluruh dan berpijak di bumi nyata Malaysia. Nasihat orang luar yang tidak kena pada konteks rakyat Malaysia mungkin akan membawa lebih banyak parah dari ubat kepada masalah di Malaysia.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 9/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -