Penduduk Malaysia dianggar 33 juta suku keempat 2022

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Penduduk Malaysia dianggarkan seramai 33 juta orang pada suku tahun keempat 2022, meningkat 1.3 peratus berbanding 32.6 juta yang direkodkan bagi tempoh sama pada 2021, menurut perangkaan demografi terkini yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

- Advertisement -

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata jumlah penduduk itu merangkumi 90.2 peratus atau 30.4 juta warganegara dan lapan peratus atau 2.6 juta bukan warganegara.

Nisbah jantina penduduk ialah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Tiga negeri mencatatkan jumlah penduduk tertinggi pada suku tahun keempat 2022 iaitu Selangor sebanyak 21.6 peratus, diikuti Johor (12.3 peratus) dan Sabah (10.4 peratus).

Beliau berkata jumlah kelahiran hidup pula pada tempoh sama mencatatkan penurunan 2.1 peratus iaitu 109,842 kelahiran berbanding 112,205 kelahiran pada suku tahun keempat 2021.

“Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 21,384 kelahiran atau 19.5 peratus, manakala Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan kelahiran hidup terendah iaitu 362 kelahiran atau 0.3 peratus,” katanya.

Mengenai kadar kematian, sebanyak 48,780 kematian dicatatkan pada suku tahun keempat 2022, penurunan 10.2 peratus berbanding 54,316 kematian yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya, dengan kematian paling tinggi adalah di Selangor sebanyak 7,711 manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan kematian terendah dengan 75 kematian. – BERNAMA

- Advertisement -