PASRelief sasar RM1 juta, sumbangan awal RM100,000

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PASRelief menyalurkan RM100,000 bantuan awal kepada mangsa bencana gempa bumi di Turkiye dan Syria.

- Advertisement -

Menurut Pengarah PASRelief, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah, bantuan awal itu digunakan untuk membekalkan keperluan mendesak kepada mangsa.

“Antara keperluan mendesak seperti selimut, pakaian musim sejuk, makanan, khemah dan ubat-ubatan,” katanya sumbangan itu diberikan melalui Pusat Koordinasi Bantuan Antarabangsa PASRelief bertempat di Bascule Plaza, Istanbul.

Menurut beliau, pasukan PASRelief antarabangsa sedang beroperasi di lapangan Kahramanmaraş City Center.

Manakala, kata beliau, operasi bantuan juga sedang digerakkan ke Adıyaman, Gaziantep dan Hatay.

Pada Rabu lepas, media melaporkan angka korban terbaharu akibat gempa bumi dahsyat Isnin lalu di tenggara Turkiye dan sempadan Syria sudah melepasi 7,800 orang.

Lapor Theguardian.com, di Turkiye, seramai 5,894 orang disahkan terbunuh manakala 1,932 orang maut di Syria dengan jumlah keseluruhan 7,826 kematian.

Yusni berkata, PASRelief menetapkan sasaran kutipan sumbangan sebanyak RM1 juta bagi fasa pertama melalui Tabung Bencana Turkiye dan Syria.

“Kempen misi bantuan ini sedang digerakkan ke semua peringkat organisasi PAS di seluruh negara.

“Alhamdulillah, semalam telah dirasmikan pelancaran kempen bantuan ini peringkat Negeri Kedah oleh Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya, Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.

“Rakyat Malaysia yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melalui akaun Maybank Islamic PASRELIEF 564070612333 atau melalui https://infaqpay.my/plus/gempa-bumi-turkiye-pasrelief,” katanya.

Menurut beliau, PASRelief juga menggerakkan dan membentuk satu gabungan NGO untuk menyelaras bantuan bencana gempa bumi.

“Sehingga kini kita sudah menerima penyertaan daripada 30 NGO yang akan bersama gabungan ini .

“Satu mesyuarat penyelarasan bantuan dibawah gabungan NGO ini akan diadakan pada 10 Febuari 2023 (Jumaat), jam 3:30 petang, bertempat di Ibu Pejabat Pas Pusat Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

“Dengan penuh hormat, dijemput semua NGO dan pihak yang bersimpati dengan musibah yang melanda rakyat Turkiye dan Syria untuk bersama-sama menyertai gabungan ini,” katanya.

Sebarang pertanyaan, katanya boleh mengubungi Setiausaha PASRelief, Norhafiza Fadzil di talian +6018-3854483. – HARAKAHDAILY 9/2/2023

- Advertisement -