PENDAHULUAN
Setelah puluhan tahun dinobatkan sebagai ‘bakal Perdana Menteri’, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya mengangkat sumpah sebagai YAB Perdana Menteri Malaysia pada akhir tahun lepas.
Ia suatu pencapaian yang sangat luar biasa. Ini kerana pentadbiran beliau hanya mendapat ’31 peratus’ sahaja undi Melayu dalam PRU ke-15, sebagaimana yang analisa yang beliau sendiri sebutkan baru-baru ini. Tapi akhirnya muncul ‘pemenang’ dalam ‘pergelutan politik’ yang hanya berakhir pada minit-minit terakhir.
Mirip Piala Dunia
Jika Perancis menang mengalahkan Argentina dalam perlawanan akhir Piala Dunia baru-baru ini, ia adalah gambaran yang tepat bagaimana PH berjaya mengalahkan PN dengan penuh dramatik. Tapi Perancis tewas, jadi perbandingan sebegitu tidak dapat dipertimbangkan.
Anwar sekarang ini lebih dikenali sebagai Perdana Menteri ke-10. Cukup gah dan cukup bergaya. Nampaknya Anwar lebih hebat daripada Kylian Mbappe.
Harapan setinggi langit
Bagi penyokong, peminat dan yang bersimpati dengan Anwar, kejayaan Perdana Menteri ke-10 dinobatkan sebagai Perdana Menteri adalah kemuncak perjuangan mereka. Rasa bersyukur dan girang memenuhi hati dan sanubari mereka. Perjuangan lebih 30 tahun, akhirnya berbuah dengan buah yang sangat manis dan cukup besar untuk dikongsikan dengan semua orang.
Dengan Anwar sebagai Perdana Menteri, ekonomi Malaysia akan lebih maju, rasuah akan merudum, kebebasan bersuara akan lebih dihormati, kedudukan Islam akan lebih dimartabatkan dengan sangat profesional, harga barang akan terkawal dan nasib golongan marhaen akan terbela.
Era kronisme, nepotisme dan kleptokrasi nampaknya bakal berakhir!
Langkah awal yang meranapkan falsafah sebuah perjuangan
Pemilihan barisan Kabinet adalah gambaran awal mengenai kerajaan yang akan dibentuk oleh Perdana Menteri ke-10. Barisan Kabinet beliau dijangka dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen yang bersih, cekap dan mampu menyelesaikan masalah rakyat dan negara.
Terkujat dan terlopong mulut semua orang, dalam negeri dan luar negara apabila Anwar menobatkan Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai YAB Timbalan Perdana Menteri. Presiden Umno yang sedang diperintahkan membela diri di mahkamah atas puluhan tuduhan salah guna kuasa dan menerima sogokan.
Ini bukan isyarat yang ‘cukup dan meyakinkan’ untuk Perdana Menteri ke-10 memerangi rasuah dan menggerunkan pelaku-pelaku rasuah. Tapi ia satu isyarat yang segera difahami, jika kena gayanya, masih ada ruang untuk golongan seperti itu dalam Pentadbiran Perdana Menteri ke-10.
Jika Zahid sangat diperlukan pun, sepatutnya tunggulah sehingga ia dibebaskan daripada semua pertuduhan itu. Datuk Ahmad Hasan masih ada.
Barisan Kabinet bukan daripada pasukan utama PH
Yang lebih tidak disangka ialah tokoh-tokoh politik utama PH tidak mahu menjadi Menteri Kabinet. Yang ada hanyalah adik Lim Guan Eng, bukan Lim Guan Eng sendiri. Yang ada hanyalah adik Datuk Seri Shafie Apdal, bukan Shafie sendiri. Yang ada hanyalah adik Gobind Singh, bukan Gobind sendiri.
‘Bos-bos’ dalam PH kelihatan mengambil langkah selamat berbanding terlibat secara langsung dan lebih berkesan dalam Kabinet Anwar. Ini tentulah akan menyukarkan Perdana Menteri ke-10 kerana wakil parti dalam Kabinet bukanlah kepimpinan utama parti.
Hanya kepimpinan utama PAN dan Umno yang diwakili oleh ‘bos-bos’.
Isu telur dan ayam
3 bulan pertama Pentadbiran Perdana Menteri ke-10 menyaksikan isu telur dan ayam masih gagal ditangani. Walaupun tugasan itu seperti telah ‘diswastakan’ untuk diuruskan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang merupakan Presiden PAN dan Menteri Ekonomi yang dianggap sebagai ‘pengganti’ Anwar dalam PKR oleh kebanyakan penganalis politik.
Walaupun hanya melibatkan dua item, tetapi isu telur dan ayam adalah petunjuk kepada isu kenaikan harga barang, kekurangan bekalan, monopoli dan ketidak-mampuan kerajaan bertegas dengan tauke-tauke besar dalam mendahulukan kebajikan rakyat.
Mohamad Sabu terus mengambil langkah mengimport telur untuk mencukupkan bekalan. Tindakan itu dikecam pula oleh tauke-tauke telur dalam negara kerana Malaysia adalah negara pengeksport telur. Mengimport telur bermakna pengeluar dalam negara perlu bersaing untuk pasaran telur tempatan juga.
Menteri Keterjaminan Makanan itu juga dikecam oleh pengguna, kerana harga telur import lebih mahal dan saiznya lebih kecil.
Rafizi pula meminta rakyat ‘by right’ memilih untuk tidak membeli ayam jika harga ayam dikatakan ‘tinggi’. Formula ekonomi ‘beraras tinggi’ yang diharapkan oleh golongan marhaen daripada Menteri Ekonomi nampaknya kena diselesaikan oleh mereka sendiri. Menteri Ekonomi nampaknya seperti mahu ‘berlepas tangan’.
Menu Rahmah
Apabila isu peningkatan harga makanan semakin sukar ditangani, peniaga kedai makanan pula digesa lebih bersifat mengasihani pengguna dengan kempen ‘Menu Rahmah’.
Pentadbiran Perdana Menteri ke-10 kelihatan hanya cuba mengelak daripada menguruskan isu sebenar dengan ‘kerangupan istilah’.
Jika harga bahan mentah tidak ditangani dengan lebih efektif dan harganya semakin meningkat, Menu Rahmah RM5 terpaksa ditukarkan kepada Menu Rahmah RM9 selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Penutup
Anwar sudah menjadi Perdana Menteri. Sudah menjadi nakhoda. Tangan Perdana Menteri ke-10 sudah memegang kemudi. Sauh dibuka atau ditarik hanya menunggu teriakan nakhoda. Namun setelah tiga bulan, kapal negara seolah-olah masih tidak ada haluan dan tidak bergerak ke mana-mana.
Sehingga hari ini, Perdana Menteri ke-10 masih bersifat sebagai Presiden PKR dan Pengerusi PH. Bukan Perdana Menteri ‘Perpaduan’. Perdana Menteri ke-10 hanya kelihatan sedang cuba mengukuhkan kedudukan PH dan BN dan melemahkan kedudukan PN setakat ini.
Masih belum ada jiwa besar sebagai seorang Perdana Menteri Malaysia yang sedang memimpin seluruh negara menghadapi pelbagai cabaran semasa yang semakin sukar mutakhir ini.
Ramai rakyat masih berharap yang lebih baik daripada Perdana Menteri ke-10 dan barisan Kabinetnya daripada sekadar beliau dan anakandanya tidak ‘mengambil gaji’ sebagai penjawat awam.
USTAZ ZAKARIA ISMAIL
Marang
9 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 9/2/2023
Menanti hari yang lebih cerah di bawah pentadbiran PMX
- Advertisement -