Gantung Hanis Nadiah Onn: Tindakan sangat keras

- Advertisement -

SAYA mengecam sekeras-kerasnya tindakan penggantungan Hanis Nadiah Onn dari mewakili pasukan hoki kebangsaan ke mana-mana tugasan Antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Cambodia 2023. 

Tindakan ini sangat keras berbanding dengan kesalahan yang didakwa dilakukan oleh beliau apatah lagi beliau sendiri telah memohon maaf secara terbuka terhadap ciapan yang dibuatnya dan memadam komen tersebut.

Jawatankuasa Siasatan sendiri mengakui bahawa Hanis memiliki perwatakan merendah diri serta berdisiplin tinggi sepanjang latihan dan kejohanan.  

Bahkan jurulatihnya sendiri menyatakan bahawa beliau memiliki ramai rakan-rakan hoki di kalangan bangsa India dan mereka bergaul rapat tanpa masalah ekoran sifatnya yang mudah mesra dengan rakan sepasukan. 

Ini bermaksud apa yang ditulis langsung tidak mempunyai niat untuk membangkitkan elemen perkauman dan rasis seperti yang didakwa oleh sebahagian netizen.

Tindakan penggantungan ini akan menjejaskan masa depan beliau dan sekali gus menjejaskan peluang skuad negara untuk meraih pingat di dalam Sukan Sea Cambodia 2023.

Saya menggesa Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh untuk campur tangan dalam isu ini dan penggantungan Hanis wajib ditarik balik. 

Saya yakin YB Menteri akan bertindak bijaksana di dalam menangani isu ini. 

YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Belia dan Sukan 
Ahli Dewan Rakyat PERIKATAN NASIONAL.
9 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 9/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -