Alami pengalaman naik choley Kuala Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Menjelang cuti sekolah tidak lama lagi, pelancong yang datang ke negeri Perlis boleh mengalami sendiri pengalaman menaiki tuk tuk atau choley bagi menikmati pemandangan kampung di sekitar Kuala Perlis.

- Advertisement -

Motosikal beroda tiga yang unik itu cukup dikenali di negara Thailand, namun kini, rakyat Malaysia berpeluang bersiar-siar di atas kenderaan itu melalui perkhidmatan yang disediakan Projek DiRaja Program Transformasi Kampung Warna-Warni Seberang Ramai, di sini.

Cetusan idea tersebut lahir selepas seorang pemuda, Nur Afiq Nasharudin melihat kesukaran warga emas dan ibu mengandung sukar berjalan kaki mengelilingi kampung.

Idea memperkenalkan perkhidmatan choley di Kuala Perlis ini dicetuskan dengan modal RM4,000.

“Saya dapat idea ini selepas melihat kesukaran pelancong yang terdiri daripada warga emas dan ibu mengandung terpaksa berjalan kaki jauh bagi menikmati keindahan kampung ini.

“Jadi, berbekalkan modal RM4,000 saya membeli choley yang ditempah khas dari Thailand bagi menjana pendapatan tambahan keluarga serta berkongsi rezeki dengan pemuda lain,” katanya.

“Saya mencari jalan bagaimana hendak membawa masuk kenderaan ini secara sah ke sini dan alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan sebuah choley pada bulan lepas,” ujarnya yang banyak pengalaman menaiki choley di Thailand.

Nur Afiq yang lebih mesra dengan panggilan Mat Apit dalam kalangan penduduk kampungnya tidak menyangka bahawa produk baharu pelancongan itu akan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong dalam dan luar negara selepas memulakan operasi pada cuti Tahun Baharu Cina, 22 Jan lepas.

“Jika dapat bantuan modal daripada pihak berwajib, saya bercadang untuk menambah sebuah lagi choley bagi menampung permintaan tinggi khususnya pada cuti umum dan hujung minggu,” katanya.

Mat Apit turut dibantu rakan sekampungnya yang bergilir-gilir membawa pengunjung menaiki choley mengelilingi kawasan kampung, khususnya pada cuti umum dan hujung minggu.

Menurutnya lagi, pada hujung minggu, dia mampu mengendalikan antara tujuh hingga sembilan perjalanan dari pagi hingga ke lewat petang dengan bayaran RM35 selama satu jam.

Ia meliputi tujuh kampung iaitu Kampung Tengah, Kampung Tanjung, Kampung Seberang Alur, Kampung Seberang Jaya, Kampung Pulau Ketam, Kampung Tandiap dan Kampung Baru Tandiap yang mengambil masa 45 minit hingga satu jam mengikut permintaan pelancong.

Perkhidmatan choley di Kuala Perlis mendapat sambutan hangat daripada pelancong dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, pelancong juga boleh berswafoto dan menikmati keindahan kampung serta singgah membeli produk kampung seperti dodol, putu kacang, halwa maskat dan laksa Kuala Perlis sebagai buah tangan.

“Saya rasa bangga di samping membawa pelancong, saya dapat jadi duta kecil untuk mempromosi kampung ini,” katanya.

Pembangunan Projek DiRaja Program Transformasi Kampung Warna-Warni Seberang Ramai  itu adalah salah satu dari usaha Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs) dalam membangunkan sektor ekonomi penduduk di kawasan tersebut sekaligus dapat meningkatkan aset pelancongan negeri.

Selain dari menaiki choley, pelancong juga boleh menaiki skuter elektrik, motorsikal dan basikal yang dibuka setiap hari bermula  jam 9 pagi hingga 8 malam.

Harga untuk menaiki skuter elektrik bermula dari RM15 selama 40 minit, motosikal RM15 selamat 1 jam dan RM5 untuk basikal. – HARAKAHDAILY 9/2/2023

- Advertisement -