15,000 korban gempa: Erdogan akui ‘kekurangan’

Seorang wanita meratap di samping mayat mangsa gempa bumi di sebuah stadium di Kahramanmaras, Turkiye pada 8 Feb 2023. (FOTO: REUTERS/Suhaib Salem)
- Advertisement -

ANTAKYA: Presiden Turki Recep, Tayyip Erdogan mengakui wujud ‘kekurangan’ selepas kritikan terhadap tindak balas kerajaannya terhadap gempa bumi besar yang telah mengorbankan lebih 15,000 orang di Turki dan Syria.

- Advertisement -

Skala besar bencana yang telah meranapkan beribu-ribu bangunan, memerangkap penduduk yang tidak diketahui bilangannya, menjadikan cabaran getir terhadap operasi bantuan yang  juga telah dihalang oleh cuaca sejuk beku ketika ini.

Mangsa yang terselamat telah dibiarkan berebut-rebut untuk mendapatkan makanan dan tempat tinggal – dan dalam beberapa kes melihat dengan tidak berdaya apabila saudara-mara  yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan mereka memangil-manggil untuk diselamatkan, dan akhirnya tidak bersuara lagi selepas menghembuskan nafas terakhir  masing-masing, lapor AFP.

Erdogan menenangkan seorang mangsa gempa bumi ketika melawat lokasi kejadian di Kahramanmaras pada 8 Feb 2023. (FOTO: tccb.gov.tr)

“Anak saudara, kakak ipar dan adik kakak ipar saya masih berada dalam runtuhan bangunan. Mereka terperangkap di bawah runtuhan dan tiada tanda-tanda kehidupan,”  kata seorang guru tadika, Semire Coban, di Hatay, Turkiye.

“Kami tidak dapat menghubungi mereka. Kami cuba bercakap dengan mereka, tetapi mereka tidak bertindak balas… Kami sedang menunggu bantuan. Sekarang sudah 48 jam berlalu,” ujarnya sayu.

Namun, kumpulan orang ramai termasuk badan bukan kerajaan meneruskan operasi mencari  dan menyelamatkan mangsa yang terselamat dari serpihan tiga hari selepas gempa bumi  pertama berukuran 7.8 magnitud yang sudah menjadi antara yang paling dahsyat abad ini, dengan jumlah kematian terus meningkat.

Mangsa gempa bumi di Kahramanmaras, Turkiye yang terselamat kini terpaksa pula bergelut dengan cuaca sejuk beku. (FOTO: Skynews)

Jumlah korban dijangka cecah 20,000

Ketika kritikan meningkat dalam talian, Erdogan melawat salah satu tempat yang paling teruk dilanda, pusat gempa Kahramanmaras, dan mengakui  wujud masalah dalam tindak balas kerajaannya dalam menangani bencana itu.

“Sudah tentu ada kekurangan. Ia  jelas dilihat. Adalah tidak mungkin (negara) bersedia menghadapi bencana seperti ini,” akuinya.

Sementara,  menurut wartawan AFP dan kumpulan pemantau web NetBlocks, perkhidmatan Twitter juga tidak berfungsi dalam  rangkaian mudah alih Turkiye, 

Tempoh masa untuk penyelamat mencari mangsa yang terselamat semakin getir apabila usaha menghampiri 72 jam selepas gempa pertama yang dianggap oleh pakar bencana sebagai tempoh yang paling mungkin untuk menyelamatkan nyawa mangsa.

Namun pada Rabu – pada hari ketiga bencana, penyelamat menarik kanak-kanak dari bawah bangunan runtuh di wilayah Hatay, Turkiye yang dilanda gempa yang teruk,  lokasi di mana seluruh kawasan bandar telah ranap sama sekali.

Terdapat beberapa kes mangsa gempa yang terselamat melihat tanpa berdaya membantu ketika saudara-mara mereka memanggil-manggil untuk diselamatkan, dan akhirnya tidak lagi bersuara buat selama-lamanya di bawah serpihan runtuhan konkrit bangunan. (FOTO:AP/PTI)

“Tiba-tiba kami mendengar suara dan terima kasih kepada jengkaut… serta-merta kami mendengar suara tiga orang pada masa yang sama,” kata penyelamat, Alperen Cetinkaya.

“Kami menjangkakan lebih ramai daripada mereka masih hidup… peluang untuk membawa orang ramai keluar dari sini hidup-hidup adalah sangat tinggi,” tambahnya.

Pegawai perubatan tempatan dalam kenyataannya berkata 12,391 orang disahkan terkorban di Turkiye dan sekurang-kurangnya 2,992 di Syria akibat gempa  7.8 magnitud pada Isnin (6 Feb), menjadikan jumlah keseluruhan  mencecah 15,383  – dan pakar bimbang jumlah itu akan terus meningkat dengan mendadak; dan dijangka boleh mencecah 20,000 orang dalam beberapa hari lagi. 

Sempadan Turki-Syria adalah salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia. Gempa bumi pada Isnin (6 Feb) itu adalah yang terbesar yang pernah melanda Turkiye sejak 1939, apabila 33,000 orang maut di wilayah timur Erzincan.

Pada tahun 1999 pula, gempa bumi berukuran 7.4 magnitud telah mengorbankan lebih daripada 17,000 nyawa di negara itu. – HARAKAHDAILY 9/2/2023

- Advertisement -