Wan Zikri sukses capai impian kempen PRU15

Wan Zikri Afthar Ishak
- Advertisement -

ARAU: Menghampiri 100 hari kemenangan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tambung Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak membuktikan beliau telah  berjaya merealisasikan Gudang Aspirasi Saidina Umar Al-Khatab yang menjadi antara impiannya semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) lalu. 

- Advertisement -

“Sewaktu kempen PRU-15 lalu, saya ada mempunyai hasrat untuk mengadakan Gudang Aspirasi Saidina Umar Al-Khatab, alhamdulillah selepas beberapa bulan kita sudah pun dapat kedai untuk dijadikan gudang tersebut.

“Saya sudah pun berniat untuk menginfakkan beberapa jumlah dari pendapatan saya selepas bergelar ADUN bagi membeli barangan keperluan untuk diletakkan di gudang ini,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh terdekat gedung tersebut bakal dipenuhi dengan keperluan asas bagi penduduk sekitar yang memerlukan.

“Buat masa sekarang kita sudah pun mempunyai beberapa jenis barang seperti katil untuk orang sakit dan kerusi roda.

“Walaupun tidak banyak tetapi cukup buat sementara waktu dan kita akan tambah lagi selepas ini dengan barang keperluan asas seperti susu bayi, lampin pakai buang, beras dan sebagainya.

Beliau juga membuka peluang kepada individu lain jika berhasrat berbuat demikian dengan terus menghubungi pihaknya.

“Saya doakan semoga penduduk Tambung Tulang akan mendapat manfaat daripada gudang ini,” ujarnya.

Pengalaman merasai kesusahan dan keperitan rakyat semasa Pandemik Covid-19 sebelum ini membuatkan beliau semangat mewujudkan gudang tersebut.

“Kenapa  saya memilih Saidina Umar Al Khatab adalahkerana khalifah agung yang dijamin syurga ini walaupun menjadi pemimpin namun tetap boleh kandar (bawa)  guni gandum untuk diberi kepada rakyat di bawah.

“Pemimpin yang ada sekarang ini mahu kah berbuat demikian, apa salahnya kita wujudkan gudang-gudang seperti ini,” katanya semasa berucap dalam pentas Calon Anak Muda Perikatan Nasional (PN) dalam tempoh berkempen lepas.

Menurut beliau lagi, gudang aspirasi tersebut akan beroperasi sepenuhnya pada pertengahan Mac depan.

“Saya harap ia dapat digunakan sebaiknya oleh penduduk tempatan yang benar-benar memerlukan.

“Ambil barang sekadar keperluan kita kerana mungkin ada orang lain juga memerlukan barang yang sama,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/2/2023

- Advertisement -