Ujian hidup seorang ibu cekal dan remaja yang tabah

- Advertisement -

SAYA ziarahi dua keluarga pagi semalam selepas mendapat makluman mengenai mereka. 

Ziarah pertama menemukan saya dengan Puan Hamisa yang menjaga suami yang uzur dan tiga orang anak istimewa. 

Suaminya sudah lama menanggung penyakit yang tidak diketahui puncanya. Dia hilang hampir semua jari kaki dan tangan dan tidak mampu bergerak dengan baik. 

Anak-anak pula disahkan mengalami masalah ADHD, sejenis gangguan saraf yang berkaitan dengan perkembangan otak dan kawalan diri. 

Ketiga-tiga anaknya dan suami merupakan pemegang kad warga kelainan upaya. 

Puan Hamisa yang bekerja sebagai pembantu kedai mempunyai tanda-tanda masalah jantung. 

Ziarah kedua pula menemukan saya dengan Adik Alia yang baru berusia 19 tahun. Dia menjaga ibunya yang menghidap sakit kencing manis dan buah pinggang. 

Adik Alia yang tidak menyambung pelajaran hanya bekerja separuh masa sebagai pembantu kedai makan bagi membolehkannya memberi perhatian kepada ibu dan adiknya. 

Adiknya bersekolah di Tahun 6. Manakala ibunya hilang penglihatan dan sebelah kaki akibat diabetes dan perlu menjalani rawatan dialisis 3 kali seminggu akibat masalah buah pinggangnya. 

Adik Alia mengambil tanggungjawab membawa adiknya ke sekolah dan ibunya mendapatkan rawatan dengan menaiki motosikal. 

Kedua-dua keluarga ada mendapat bantuan daripada agensi-agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, MUIP dan Perkeso. 

Namun desakan hidup membuatkan bantuan-bantuan diterima tidak dapat menampung sepenuhnya keperluan mereka. 

Apa yang membuatkan saya tersentuh adalah ketabahan kedua-dua keluarga ini yang sebolehnya tidak mahu mengharapkan bantuan daripada sesiapa. 

Namun sesekali ada ahli masyarakat kita yang menghulurkan sumbangan dan bantuan. 

Insya-Allah, saya akan cuba usahakan bantuan tambahan daripada mana-mana agensi lain yang layak diterima mereka. 

Saya alu-alukan jika ada di kalangan tuan puan saudara saudari sedia menyumbang untuk mereka. Semoga Allah merahmati kita semua.

YB ANDANSURA RABU
ADUN Beserah – HARAKAHDAILY 8/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -