Pelumba cilik sensasi terima hadiah motor daripada MB

- Advertisement -

SEPANG: Kerajaan negeri mencipta kejutan apabila menghadiahkan sebuah motosikal mini GP berjenama Ohvale kepada pelumba cilik Terengganu dan negara, Qabil Irfan Azlan, semalam.

- Advertisement -

Memnteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri berkata, pemberian itu adalah komitmen kerajaan negeri bagi menghargai anak Terengganu yang telah mencapai kejayaan cemerlang di peringkat antarabangsa.

Katanya, motosikal itu akan dimanfaatkan Qabil ketika latihan dalam meningkatkan lagi prestasi ke tahap tertinggi.

“Kejayaan ini juga merupakan inspirasi kepada anak-anak muda di Terengganu, jika kita mempunyai kehendak dan usia yang luar biasa, kejayaan pasti dapat dicapai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tempat latihan Qabil Irfan dan Hakim Danish di Litar Antarabangsa Sepang yang dikelola oleh ZK Racing Sdn.Bhd.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed@ Harun.

Sementara itu, Wan Sukairi berharap agar Qabil Irfan dan Hakim Danish akan menjadi pembuka jalan untuk kemajuan sukan permotoran di Malaysia secara amnya dan di negeri Terengganu khususnya.

“Kerajaan negeri berharap agar kedua-dua pelumba cilik ini dapat memberi fokus kepada sukan permotoran ini sehingga ke kemuncak iaitu MotoGP Dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Qabil Irfan amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu atas pemberian itu yang mendorongnya untuk terus berjaya.

Untuk rekod, Qabil Irfan Azlan telah berjaya mencipta kejutan dengan menamatkan perlumbaan Super Final Kejuaraan Siri Dunia FIM MiniGP 2022 di Litar Ricardo Tormo, Valencia dengan menduduki tempat ketiga. – TRDI.my

- Advertisement -