Pelabur Qatar sedia bida beli Manchester United

Qatar Sports Investments (QSI) sudah miliki Paris St Germain, kini sasar Manchester United.
- Advertisement -

Pelabur Qatar merancang membuat tawaran besar untuk membeli kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United.

- Advertisement -

Laporan akhbar Daily Mail memetik sumber yang tidak dinamakan, menyifatkan pelabur berkenaan sebagai “kumpulan swasta, kaya raya” dari Qatar yang menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.

Reuters telah menghubungi Manchester United untuk mendapatkan komen.

Syarikat INEOS milik Jim Ratcliffe bulan lalu, secara rasmi memasuki proses bidaan untuk membeli United selepas pemilik kelab, keluarga Glazer dari Amerika Syarikat pada November lalu, menyatakan telah mula melihat pilihan, termasuk pelaburan baharu atau potensi penjualan.

Bulan lalu, Bloomberg News melaporkan bahawa Qatar Sports Investments (QSI), yang memiliki Paris St Germain, sedang mempertimbangkan sama ada untuk mengambil alih keseluruhan atau pegangan dalam Manchester United atau saingan mereka, Liverpool.

Peminat United mendesak untuk menukar pemilikan kelab itu dan keluarga Glazers menjadi sasaran kritikan apabila pasukan itu kali terakhir memenangi piala pada 2017, menjulang trofi Liga Europa dan Piala Liga.

Ribuan penyokong Unitred mengadakan bantahan di luar Old Trafford pada April lalu, termasuk menyalakan suar dan menyanyikan lagu menuntut Glazers “keluar dari kelab”.

Hutang bersih United, satu lagi perkara yang meningkatkan kemarahan peminat, meningkat kepada 515 juta Pound (AS$620.42 juta) menjelang September.

Pasukan itu yang kini dikendalikan oleh Erik ten Hag, berada di tangga ketiga liga dengan 42 mata selepas 21 perlawanan, tiga mata di belakang Manchester City dan lapan mata daripada pendahulu Arsenal. – REUTERS

- Advertisement -