Cadangan penalti RM10,000 buat kenyataan seksis di Parlimen

Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika Majlis Temu Mesra Bersama Pengamal Media di Parlimen. - FOTO JAMAL KEMALA
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parlimen mempertimbangkan untuk mengenakan penalti sehingga RM10,000 terhadap Ahli Parlimen yang melanggar peraturan, termasuk membuat kenyataan berbaur seksis dalam persidangan Parlimen.

- Advertisement -

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, berkata perbincangan telah dilakukan dengan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, untuk menggubal peraturan yang jelas berhubung perkara itu.

Katanya, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) boleh mengenakan penalti sebanyak RM1,000 tetapi melalui penggubalan yang dilakukan, jumlah penalti boleh dinaikkan sehingga RM10,000.

“Kita akan bekerjasama dengan Dewan Negara,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Temu Mesra Yang Dipertua Dewan Rakyat Bersama Pengamal Media di Parlimen di sini, hari ini.

Sementara itu, Johari menggesa semua Ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan eksekutif termasuk pembangkang menyertai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melalui Mesyuarat Pertama Parlimen ke-15 yang dijadual bermula Isnin ini.

Sehubungan itu, katanya Parlimen bersedia menambah sehingga 13 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memastikan semua Ahli Parlimen berpeluang menyertai jawatankuasa berkenaan.

“Saya mahu Ahli Parlimen ‘backbencher’ sama ada dari kerajaan atau pembangkang berada dalam jawatankuasa khas ini dengan semua pihak mempunyai peranannya. Perbincangan akan dibuat bulan ini…daripada 10 jawatankuasa khas akan tambah kepada 13.

“Mereka akan diberikan kakitangan dan peruntukan bagi setiap jawatankuasa khas…setiap jawatankuasa khas mungkin lapan hingga 10 orang tidak termasuk eksekutif,” katanya.

Johari berkata, Ahli Parlimen perlu menunjukkan prestasi cemerlang dan tidak boleh mengadu tidak mempunyai cukup masa untuk berdebat dalam dewan kerana mereka perlu menunjukkan prestasi dalam jawatankuasa itu.

Sementara itu, Johari turut berdialog dengan wartawan untuk mengetahui masalah yang dihadapi ketika membuat liputan di Parlimen, terutama Dewan Rakyat.

Beliau mencadangkan wartawan supaya menubuhkan jawatankuasa bagi melancarkan liputan sepanjang persidangan Dewan Rakyat, termasuk melantik antara tiga hingga empat orang wakil yang boleh berbincang dengannya berhubung pelbagai isu liputan media. – HARAKAHDAILY 8/2/23

- Advertisement -