Bapa pegang tangan anak dalam runtuhan di Turkiye

Mesut Hancer memegang tangan anak perempuannya Irmak dalam sisa runtuhan bangunan kediaman mereka di Kahramanmaras, dekat dengan pusat gempa bumi di Turkiye pada 7 Feb 2023. (FOTO: AFP).
- Advertisement -

KAHRAMANMARAS:  Visual yang sangat menyayat hati dirakam di Kahramanmaras, selatan Turkiye berhampiran pusat gempa bumi menunjukkan seorang bapa memegang tangan anak perempuannya yang sudah meninggal dunia dalam sisa runtuhan bangunan kediaman mereka.

- Advertisement -

Anak perempuan Mesut Hancer, Irmak yang berusia 15 tahun terkorban apabila rumah mereka runtuh, lapor The Sun.

Dalam imej yang sangat menyedihkan itu, Hancer kelihatan duduk di hadapan sisa runtuhan bangunan berkenaan sambil merenung ke arah kejauhan dengan pandangan kosong – menggambarkan betapa dalamnya emosi sedih seorang bapa yang kehilangan anaknya yang tersayang.

Mesut Hancer tidak lepas daripada berterusan memegang tangan anaknya yang berada di bawah timbunan sisa runtuhan bangunan kediaman mereka. (FOTO: AFP)

Dia kelihatan berterusan memegang tangan Irmak yang tidak bermaya di bawah runtuhan konkrit yang menimpa di atas tilam tempat tidurnya semasa kejadian berlaku Isnin (6 Feb).

Gempa bumi kuat yang pertama berukuran 7.7 magnitud melanda pada jam 4.17 pagi Isnin ketika orang ramai tidur, meratakan beribu-ribu struktur tinggi, memerangkap penduduk  yang tidak diketahui jumlahnya – dikatakan boleh mencecah 20,000 orang an berpotensi menjejaskan sehingga 23 juta penduduk di kedua-dua negara Turkiye dan Syria yang kini terjejas teruk.

Paling ketara, seluruh deretan bangunan runtuh telah meninggalkan kemusnahan paling teruk berhampiran pusat gempa antara bandar Turki Gaziantep dan Kahramanmaras. – HARAKAHDAILY 8/2/2023

- Advertisement -