
GENEVA: Sehingga 23 juta penduduk boleh terjejas akibat dua gempa bumi besar yang telah mengorbankan 7,800 nyawa di Türkiye dan Syria.
Pegawai Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Adelheid Marschang berkata, peta gambaran keseluruhan menunjukkan bahawa 23 juta penduduk kedua-dua Turkiye dan Syria berpotensi akan terjejas impak bencana ini, yang termasuklah lima juta mangsa yang berdepan secara langsung di lokasi kejadian, lapor AFP.
“Infrastruktur awam dan kemungkinan infrastruktur kesihatan telah rosak di seluruh wilayah terjejas, terutamanya di Türkiye dan barat laut Syria,” tambahnya.
WHO menganggap bahawa keperluan utama yang tidak dipenuhi mungkin di Syria dalam tempoh segera dan pertengahan, ini,” ujar Marschang kepada jawatankuasa eksekutif WHO di Geneva.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu ketika penyelamat di Türkiye dan Syria berhadapan dengan cuaca sejuk beku, siri gempa susulan dan sisa bangunan-bangunan runtuh, ketika mereka menggali untuk mencari kemungkinan ada mangsa terselamat.
“Ia kini perlumbaan dengan masa,” kata ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pula, yang menjelaskan bahawa agensi kesihatan PBB sedang menghantar bantuan segera ke kawasan terjejas.
“Kami menggerakkan bekalan kecemasan dan kami telah mengaktifkan rangkaian pasukan perubatan kecemasan WHO untuk menyediakan penjagaan kesihatan penting bagi mereka yang cedera dan paling terdedah,” jelasnya.

Agensi bencana berkata beberapa ribu bangunan telah runtuh akibat dua gempa bumi kuat pada Isnin (6 Feb) di bandar-bandar merentasi wilayah sempadan Türkiye-Syria yang luas – menambahkan kesengsaraan khususnya di Syria di kawasan yang sudah dilanda perang, pemberontakan, krisis pelarian dan wabak taun baru-baru ini.
“Sepanjang malam, mangsa yang terselamat menggunakan tangan kosong mereka untuk mengutip runtuhan blok apartmen berbilang tingkat yang berpusing – cuba menyelamatkan keluarga, rakan dan sesiapa sahaja yang tidur di kediaman masing-masing apabila gempa bumi besar pertama 7.7 magnitud melanda pada jam 4.17 pagi Isnin itu.
“Keadaan ini amat teruk di utara Syria, yang telah musnah akibat peperangan selama bertahun-tahun.
“Pergerakan bantuan melalui sempadan ke barat laut Syria berkemungkinan akan atau sudah terganggu akibat kerosakan yang disebabkan oleh gempa bumi. Ini dengan sendirinya sudah menjadi krisis besar,” kata Marschang.
Beliau berucap pada mesyuarat khas mengenai tragedi itu, yang mengadakan uoacara berkabung selama seminit bagi menghormati mangsa.
Ketua WHO itu berikrar bahawa agensi itu akan bekerja rapat dengan semua rakan-rakan kongsi untuk menyokong pihak berkuasa di kedua-dua negara dalam masa dan hari kritikal yang akan datang, dan pada bulan dan tahun akan datang apabila kedua-dua negara pulih dan untuk membina semula kehidupan. – HARAKAHDAILY 8/2/2023